Lochte digantung 10 bulan berikutan kes laporan palsu di Olimpik Rio
Astro Arena
September 8, 2016 07:59 MYT
September 8, 2016 07:59 MYT
RYAN Lochte akan terlepas Kejohanan Dunia FINA, di Budapest, pada tahun depan selepas perenang Amerika itu digantung selama 10 bulan, kerana mengeluarkan kenyataan palsu mengenai skandal rompakan semasa di Olimpik Rio.
Lochte mendakwa dia dirompak dan diacukan pistol bersama-sama rakan sepasukannya Gunnar Bentz, Jack Conger dan Jimmy Feigen, di sebuah stesen minyak selepas menghadiri sebuah majlis di Brazil bulan lalu.
Perenang berusia 32 tahun itu didakwa membuat kenyataan palsu selepas mengakui sengaja 'membesar-besarkan' ceritanya dan memohon maaf atas 'sikap kurang matangnya.'
Semalam, Jawatankuasa Olimpik Amerika Syarikat (USOC) dan Persatuan Renang Amerika Syarikat, telah mengumumkan, Lochte, akan menjalani hukuman penggantungan selama 10 bulan, di mana hukuman tersebut akan tamat pada 30 Jun tahun hadapan dan perlu melakukan kerja-kerja khidmat masyarakat selama 20 jam.