Liverpool tunjuk taring di Liga Europa
Sinar Harian
Disember 1, 2023 10:50 MYT
Disember 1, 2023 10:50 MYT
DUA gol Cody Gakpo melonjakkan Liverpool ke pusingan 16 terakhir Liga Europa selepas menewaskan LASK 4-0, manakala Brighton mara ke pusingan kalah mati dengan kemenangan 1-0 di AEK Athens pada Jumaat.
Skuad kendalian Jurgen Klopp itu mengesahkan tempat teratas Kumpulan E hasil jaringan Gakpo dan gol daripada Luis Diaz dan Mohamed Salah di Anfield.
Keputusan seri 0-0 Toulouse yang berada di tempat kedua menentang Union Saint-Gilloise dalam perlawanan kumpulan lain bermakna Klopp boleh merehatkan pemain untuk perlawanan terakhir peringkat kumpulan pasukannya.
Juara kumpulan Liga Europa mara ke pusingan 16 terakhir secara automatik, manakala naib juara bermain dalam play-off pusingan kalah mati pada Februari menentang pasukan yang menduduki tempat ketiga dalam kumpulan Liga Juara-Juara.
“Perkara paling penting ialah kami juara kumpulan dan itu tidak akan berubah.
“Ada beberapa situasi yang bagus dan permainan ini sepatutnya ditamatkan sebelum separuh masa pertama. Tetapi, kami tidak melakukannya, tetapi ia tetap hebat untuk menang 4-0,” kata Klopp.
Klopp melakukan sembilan pertukaran ke atas pasukan yang seri dengan juara Liga Perdana, Manchester City Sabtu lalu dan hanya mengekalkan Salah dan Kostas Tsimikas.
Diaz meledak gol pembukaan apabila menanduk hantaran lintang Joe Gomez pada minit ke-12 dan Gakpo menambah gol kedua Liverpool selepas menyudahkan hantaran Salah.
Pengadil menghadiahkan penalti kepada Liverpool selepas Gakpo dikasari oleh pertahanan LASK dan Salah tenang menyudahkan sepakan itu pada minit ke-51.
Penyerang Belanda, Gakpo menyempurnakan kemenangan dengan gol keempat pada masa kecederaan.
West Ham turut mara ke pusingan kalah mati selepas jaringan minit ke-89 Tomas Soucek memastikan kemenangan 1-0 ke atas Backa Topola di Serbia. - Sinar Harian