Liverpool, Tottenham pamer semangat melawan tinggi
Sinar Harian
Januari 10, 2022 08:37 MYT
Januari 10, 2022 08:37 MYT
LIVERPOOL dan Tottenham Hotspur bangkit daripada ketinggalan untuk menang bergaya ke atas lawan masing-masing pada pusingan ketiga Piala FA.
Liverpool menewaskan kelab Divisyen Tiga, Shrewsbury Town 4-1 manakala Tottenham Hotspur menewaskan Morecambe 3-1 hasil kebangkitan babak kedua.
Pemain tengah Liverpool, Fabinho menjaringkan dua gol, termasuk sepakan penalti separuh masa pertama, manakala Kaide Gordon dan Roberto Firmino turut mencipta sensasi buat kelab Merseyside itu.
Pemain Shrewsbury, Daniel Udoh terlebih dahulu meletakkan pelawat di hadapan pada minit ke-27 selepas menyudah hantaran lintang Nathanael Ogbeta sebelum pemain sayap Liverpool, Gordon dengan tenang mengikat gol penyamaan tujuh minit kemudian.
Pemain Brazil, Fabinho kemudian menyempurnakan sepakan penalti The Reds sebelum Firmino menambah gol ketiga pada minit ke-78 dengan percubaan tumit belakang dari jarak dekat.
Fabinho melengkapkan gol kedua pada minit ke-93, dari sudut yang sukar ketika Liverpool kembali menerima kehadiran semula pengurus Jurgen Klopp di tepi padang selepas pulih Covid-19.
Sementara itu di Stadium Tottenham Hotspur, gol lewat perlawanan Harry Kane dan Lucas Moura melengkapkan kebangkitan skuad Antonio Conte, yang disambut dengan sorakan padu para penyokong tuan rumah selepas persembahan mengecewakan pada separuh masa pertama.
Morecambe, yang sedang bergelut dengan penyingkiran dalam Divisyen Satu, mengejutkan gergasi Liga Perdana Inggeris itu menerusi voli Anthony O'Connor pada minit ke-33.
Selepas mempersiakan beberapa peluang, Tottenham akhirnya menyamakan kedudukan pada minit ke-74 menerusi Harry Winks.
Anak buah Conte kembali mendahului sembilan minit kemudian apabila Moura menewaskan penjaga gol Trevor Carson sebelum Kane melengkapkan kebangkitan bertenaga dengan gol minit ke-88.
Dalam pada itu, West Ham United menewaskan rakan sepasukan Liga Perdana Inggeris, Leeds United 2-0 hasil jaringan Manuel Lanzini dan Jarrod Bowen, manakala Wolverhampton Wanderers menang mudah 3-0 menentang Sheffield United dengan dua gol daripada Daniel Podence dan satu lagi daripada Nelson Semedo.
Norwich City pula menewaskan Charlton Athletic 1-0 dengan jaringan separuh masa kedua daripada Milot Rashica, manakala Stoke City menewaskan Leyton Orient 2-0 dan Luton Town membelasah kelab Divisyen Dua, Harrogate Town 4-0.
KEPUTUSAN
Piala FA
Pusingan Ketiga
Liverpool 4-1 Shrewsbury
Tottenham 3-1 Morecambe
Wolves 3-0 Sheffield United
West Ham 2-0 Leeds United
Charlton Athletic 0-1 Norwich City
Luton Town 4-0 Harrogate Town
Stoke City 2-0 Leyton Orient
Cardiff City 2-1 Preston North End
Nottingham Forest 1-0 Arsenal
Artikel asal di Sinar Harian