Liverpool tidak setuju harga, Zielinski ke Napoli
Astro Arena
Ogos 5, 2016 12:54 MYT
Ogos 5, 2016 12:54 MYT
Napoli mengesahkan telah mengikat khidmat Piotr Zielinski dari Udinese dengan harga dipercayai sekitar €15 juta.
Pemain berusia 22 tahun itu hadir menjalani ujian perubatan sebelum menandatangani kontrak selama lima tahun.
Pemain tengah itu dikaitkan dengan Liverpool dan dilihat hampir pasti menyambung kerjayanya di Anfield, namun keengganan kelab Liga Perdana Inggeris (BPL) itu memenuhi harga yang dikehendaki menyebabkan dia berpindah ke Stadio San Paolo.
Zielinski menyertai Udinese dari Zaglebie Lubin pada usia 17 tahun dan membuat kemunculan pertamanya di Stadio Friuli pada November 2012.
Dia bagaimanapun gagal merebut tempat utama, lalu dipinjamkan ke Empoli selama dua musim, di mana dia membuktikan kemampuannya sehingga mengundang minat Napoli.
Pemain antarabangsa Poland itu akan menyertai rakan senegaranya, Arkadiusz Milik, di Napoli. Penyerang prolifik itu hadir ke Itali dari Ajax dengan harga €33 juta, awal minggu ini.
Kelab Serie A itu sebelum ini menandatangani Lorenzo Tonelli dan Emanuele Giaccherini.