Liverpool teruskan buru rekod pungutan mata EPL
Hakim Rahman
Julai 9, 2020 08:30 MYT
Julai 9, 2020 08:30 MYT
LIVERPOOL meneruskan pemburuan untuk memecahkan rekod pungutan mata Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas mencatatkan kemenangan 3-1 ke atas Brighton.
Dalam aksi awal pagi ini, skuad kendalian Jurgen Klopp mendominasi permainan dengan dua gol awal menerusi penyerang sensasi Mohamed Salah pada minit ke-6 dan menerusi Henderson pada minit ke- 8.
Salah kemudiannya menjaringkan gol ketiga The Reds pada minit ke-76 sementara gol tunggal Brighton disumbangkan oleh Leandro Trossard lewat babak pertama.
Mengulas mengenai mata yang perlu diperolehi, Klopp berkata, ia bukan satu perkara penting baginya.
"Saya tidak berminat untuk mengejar mata, saya cuma mahu menang perlawanan. Bagi kebanyakan ahli sukan secara umum, ia mungkin sesuatu yang penting.
"Kami adalah juara dan mungkin kami boleh berlembut sedikit, tetapi tidak, pemain kami sedia melakukan apa saja," katanya.
"Kami kini ada 92 mata dan musim lalu kami mengumpul 97! Kami ada lima mata lebih daripada ini musim lalu - ia menakjubkan, saya tidak tahu bagaimana kami melakukannya," tambahnya.
Pasukan juara itu kini mengumpul 92 mata dengan tiga kemenangan daripada empat saingan terakhir yang boleh memecahkan rekod Manchester City dengan 100 mata dua musim lalu.