Liverpool seri: Penjaga garisan 'raikan' keputusannya beri penalti kepada Spurs

Israr Khalid
Februari 5, 2018 14:14 MYT
Klopp dakwa penjaga garisan, Eddie Smart mahu jadi 'tumpuan' dengan keputusan kontroversinya. - Gambar REUTERS
Pertembungan Liverpool dengan Tottenham Hotspurs pada petang Ahad berlangsung penuh dramatik dengan berkesudahan kedua-dua pasukan sekadar berkongsi mata apabila terikat 2-2.
Harry Kane menyempurnakan sepakan penalti pada minit terakhir masa tambahan, menyelamatkan Spurs daripada berputih mata sekaligus melakar rekod 100 gol dalam kancah Liga Perdana Inggeris.
Sebelum itu, penyerang England itu gagal memanfaatkan penalti pertama dianugerah pengadil, John Moss apabila diselamatkan penjaga gol The Reds, Loris Karius pada minit ke-85, lebih perit apabila tidak lama kemudian menyaksikan Mohamed Salah mempamer aksi solo menakjubkan yang kelihatan seperti tuan rumah akan merangkul tiga mata penuh.
BACA: Carragher anggap jaringan Salah seperti Messi
Bagaimanapun pada minit ke-95, Erik Lamela dilihat merebahkan badan semasa bertembung dengan Virgil van Dijk dan Moss menafikan rayuan pemain Spurs untuk penalti dan meneruskan permainan.
Tetapi permainan dihentikan apabila penjaga garisan, Eddie Smart merasakan ia satu ‘foul’ dan berlaku perbincangan antaranya dengan Moss untuk memutuskan bahawa penalti harus diberikan kepada Spurs.
Jaringan penyamaan Kane juga ‘diraikan’ pengendali Liverpool, Jurgen Klopp yang secara menyindir menepuk tangan sambil memandang ke arah Smart, dan membuat dakwaan selepas perlawanan tamat bahawa penjaga garisan itu mahu ‘menjadi tumpuan’ dalam pertemuan di Anfield itu.
BACA: Penalti Kane selamatkan satu mata buat Spurs di Anfield
Namun seorang penonton di rumah perasan sesuatu iaitu bukan sahaja seluruh pasukan Spurs, penyokong mereka dan Klopp meraikan jaringan Kane itu, malah Smart juga dilihat menggenggam penumbuk seakan ‘meraikan’ keputusannya sendiri.

Did he just celebrate giving a pen? pic.twitter.com/fGQpY3xOV6

— Paul Lloyd (@Lloydy_lfc_2018) February 4, 2018
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Kane, Lamela didakwa rebahkan badan
Selepas perlawanan tamat, van Dijk turut menyelar Kane, yang juga dilihat terlebih dahulu ofsaid sebelum penalti yang pertama, sengaja merebahkan badannya selepas berlaku sedikit sentuhan dengan Karius.
“Saya rasa itu satu rebahan sengaja. Anda nampak dengan jelas dan tiada siapa yang berkata tentangnya. Memang saya rasa ia satu terjunan,” katanya kepada Daily Telegraph.
Pertahanan The Reds itu turut mempertahankan tindakannya yang menyebabkan penalti yang kedua selepas pertembungannya dengan Lamela.
“Saya nampak dia datang lalu saya tarik semula kaki saya (yang cuba menyepak bola), tetapi dia jatuh dengan sendiri. Pengadil kata teruskan permainan tetapi saya sangat kecewa penjaga garisan pula kata sebaliknya,” keluhnya.
Pengadil akui lakukan kesilapan
Dua keputusan kontroversi pengadil itu sudah pasti mengecewakan Klopp, apatah lagi bila pengadil Moss berkata kepadanya mengakui telah membuat keputusan yang salah, menyebabkan The Reds terpaksa tercicir dua mata berharga.
“Ia sangat jelas, dua pasukan dengan kualiti yang tinggi dan terdesak mahu menang, kami telah membentuk permainan ini,” katanya kepada Skysports.
“Keputusan perlawanan tadi sangat dipengaruhi pengadil, dan kami terpaksa menerimanya. Ada kamu dengar (pengadil menjelaskan tindakan mereka)?
“Saya tidak dibenarkan masuk ke bilik pengadil untuk tempoh setengah jam selepas tamat perlawanan. Perkara pertama sejurus wisel penamat dibunyikan pengadil adalah dia datang kepada saya dan mengatakan dia telah lakukan kesilapan, ofsaid yang jelas, sukar dipercayai. Saya tidak tahu apa yang dibincangkan mereka,” ujarnya.
Klopp juga meluahkan kemarahannya pada sesi sidang media selepas perlawanan, tetapi menegaskan sendiri bahawa dia perlu mengawal kata-katanya supaya tidak dikenakan tindakan disiplin oleh Persatuan Bola Sepak England (England FA).
Sementara pengurus Spurs, Mauricio Pochettino mengatakan bahawa Liverpool ‘bertuah’ kerana terlepas dengan satu mata, dan turut memuji pengadilan perlawanan.
“Ada kalanya kita merungut tentang mereka – saya tidak – kerana sejak dahulu lagi saya memutuskan untuk berhenti merungut.
“Kalau Dejan Lovren tidak sentuh bola, dia (Kane) ofsaid, tetapi jelas Lovren menyentuh bola, jadi Kane onsaid. Yang kedua pula foul yang jelas daripada Virgil van Dijk – ia satu keputusan yang hebat daripada pengadil dan penjaga garisan yang begitu fokus.
“Saya harus mengucapkan tahniah kepada mereka kerana ia satu keputusan yang amat sukar,” katanya.
Seawal minit ketiga, Liverpool mendahului perlawanan daripada jaringan sensasi Mesir, Mohamed Salah yang menghukum kesilapan hantaran belakang Eric Dier.
Kedua-dua pasukan saling mengasak, tetapi Spurs dilihat lebih mendominasi perlawanan biarpun tuan rumah kerap melancarkan gerakan bahawa ke gawang pelawat dari London itu.
Pendahuluan The Reds dirampas apabila rembatan deras jarak jauh Victor Wanyama menyamakan kedudukan pada minit ke-80, sebelum 10 minit penuh debaran dan perdebatan itu bermula.
Liverpool kekal di tangga ketiga dengan 51 mata, berkelebihan hanya satu mata daripada Chelsea yang boleh merampas kedudukan sekiranya menang ke atas Wartford pada Isnin.
Sementara Spurs kekal di luar kedudukan empat teratas dan akan menerima kunjungan musuh tetangga, Arsenal pada Sabtu hadapan.
#bola sepak #Eddie Smart #Harry Kane #John Moss #jurgen klopp #kontroversi #Liga Perdana Inggeris #Liverpool #Mauricio Pochettino #Mohamed Salah #pengadil #penjaga garisan #Tottenham Hotspurs #Victor Wanyama
;