Liverpool sambar Cody Gakpo
Sinar Harian
Disember 27, 2022 11:30 MYT
Disember 27, 2022 11:30 MYT
KELAB gergasi Liga Perdana Inggeris (EPL), Liverpool berjaya menyambar penyerang antarabangsa Belanda, Cody Gakpo pada Selasa.
Perkara itu diumumkan oleh kelab Gakpo, PSV Eindhoven dalam satu kenyataan dan pemain berusia 23 tahun itu akan menjalani beberapa ujian untuk melengkapkan urusan perpindahan.
"PSV dan Liverpool FC mencapai persetujuan mengenai perpindahan Cody Gakpo.
"Penyerang berusia 23 tahun itu akan berangkat ke England dalam masa terdekat dan perlu menjalani ujian yang diperlukan sebelum urusan perpindahan selesai," kata kenyataan itu.
Gakpo yang menjaringkan tiga gol pada Piala Dunia 2022 di Qatar untuk Belanda turut dikaitkan dengan beberapa pasukan besar seperti Manchester United.
PSV tidak menyatakan jumlah yuran perpindahan pemain itu, namun laporan media antarabangsa menyebut ia akan menjadi rekod tertinggi pernah diterima oleh kelab Belanda itu.
Menurut laporan itu, yuran perpindahan Gakpo mampu mencecah £44 juta (RM235.15 juta). -Sinar Harian