Liverpool rekrut Diaz dari Porto

Sinar Harian
Januari 31, 2022 09:00 MYT
Aksi Luis Diaz selepas menjaringkan gol pembukaan pasukannya ketika perlawanan Liga Juara-juara kumpulan B antara AC Milan dan Porto di stadium San Siro, Milan, Itali, 3 Nov 2021. (Foto AP)
GERGASI Liga Perdana Inggeris (EPL), Liverpool akhirnya merekrut pemain Colombia, Luis Diaz dari kelab Portugal, FC Porto pada Ahad, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai status ayam tambatan The Reds dari Mesir, Mohamed Salah.
Diaz yang berusia 25 tahun itu menandatangani kontrak sehingga 2027 dengan bayaran perpindahan £37.5 juta (RM210 juta) dan berserta bonus tambahan £12.5 juta (RM70 juta) bagi memperkuatkan bahagian sayap The Reds.
"Kelab Bola Sepak Liverpool telah melengkapkan perpindahan Luis Diaz dari FC Porto, tertakluk kepada kejayaan pemberian permit kerja dan pelepasan antarabangsa.
"Diaz menyertai Liverpool selepas dua setengah musim berkhidmat dengan FC Porto, menyaksikan dia membuat 125 penampilan dan menjaringkan 41 gol," kata Liverpool dalam satu kenyataan di laman web The Reds.
Diaz sebelum ini menjadi sasaran utama Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp untuk jendela perpindahan musim panas, namun permintaan semakin meningkat terhadap pemain itu terutamanya dari Tottenham Hotspur, memaksa The Reds bertindak lebih awal menyambar pemain tersebut.
Pemain itu kini menjalani latihan pusat bersama Colombia untuk perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2022.
Artikel asal di Sinar Harian
#Liverpool #Luis Diaz #kontrak
;