'Liverpool pencabar kejuaraan? Awal lagi' - Jurgen Klopp

Israr Khalid
Ogos 21, 2018 11:44 MYT
Pengendali Liverpool, Jurgen Klopp enggan menghantar sebarang kenyataan kepada para pesaingnya susulan kemenangan anak buahnya ke atas Crystal Palace pada Selasa. - Gambar fail
PENGENDALI kelab Inggeris Liverpool, Jurgen Klopp enggan ‘menghantar sebarang kenyataan’ kepada para pesaingnya susulan kemenangan anak buahnya ke atas Crystal Palace pada Selasa.
Ketika The Reds melakar kemenangan kedua daripada dua perlawanan Liga Perdana Inggeris musim ini, Klopp menyatakan masih terlalu awal untuk berkata tentang kedudukan Liverpool sebagai pencabar utama kejuaraan liga kepada penyandang gelaran, Manchester City.
“Saya tak ambil peduli sebenarnya. Kami tidak berlumba dengan mana-mana pasukan Liga Perdana setiap minggu.
“Terlalu lantang untuk menyatakan apa-apa selepas hanya dua perlawanan. Kalian boleh berbincang mengenai apa sahaja - cuma lakukannya tanpa kami,” kata pengurus dari Jerman itu selepas tamat perlawanan di Selhurst Park.
BACA: 5 pemain yang perlu ada dalam pasukan fantasi Premier League anda
Liverpool menamatkan saingan liga musim 2017/2018 di tempat keempat dengan 25 mata di belakang The Citizens, tetapi dilihat sebagai ancaman utama kepada kelab Manchester itu selepas kemasukan beberapa pemain penting yang setakat ini terbukti berjaya memperkuat pasukan antaranya Naby Kieta, Alisson Becker dan Xherdan Shaqiri.
Dua perlawanan tanpa bolos, bagaimanapun anak buah Klopp kelihatan agak bergelut untuk menundukkan tuan rumah apabila gol pertama hanya hadir pada minit terakhir separuh masa pertama menerusi jaringan penalti James Milner.
Penalti itu diraih Liverpool selepas Mohamed Salah dijatuhkan di dalam kawasan penalti Palace oleh pemain pertahanan, Mamadou Sakho.
Salah terlepas beberapa peluang jaringan, kelihatan masih belum menemui rentak ketajamannya sepertimana dipamer pada musim lepas yang membuahkan 43 gol, bagaimanapun tetap memainkan peranan penting dalam keampuhan jentera serangan The Reds.
Sensasi Mesir itu kemudian sekali lagi dijatuhkan oleh Aaron-Wan Bissaka yang dilayangkan kad merah pada minit ke-75 akibat menerjah Salah dari belakang ketika penyerang itu berjaya memecut melepasi kawalan pertahanan Palace dan hanya berdepan penjaga gol, Wayne Hennessey untuk peluang menggandakan jaringan Liverpool.
Sepakan percuma di kawasan D lawan diambil Salah, namun sekadar mengenai benteng dan bola keluar untuk sepakan penjuru.
Ketika perlawanan berbaki lagi dua minit dalam masa tambahan babak kedua, Sadio Mane membawa bola dari tengah padang dan memecut untuk melepasi pertahanan dan memperdaya penjaga gol lawan, sebelum mudah menendang bola masuk ke gawang Palace untuk kemenangan selesa 2-0.
Liverpool berkongsi enam mata dengan lima pasukan lain yang juga berjaya melakar dua kemenangan sejak tirai musim baharu dibuka minggu lalu, tetapi berjaya menempatkan diri di kedudukan kedua dalam carta hanya kekurangan satu perbezaan gol dengan skuad kendalian Pep Guardiola di teraju liga.
Brighton & Hove Albion, yang melakar kemenangan ke atas Manchester United hujung minggu lepas, akan berkunjung ke Anfield pada Ahad ini 26 Ogos jam 12.30 malam.
#bola sepak #Brighton & Hove Albion #Crystal Palace #jurgen klopp #Liga Perdana Inggeris #Liverpool #Manchester City #Manchester United #Pep Guardiola
;