Liverpool pecat Brendan Rodgers

Astro Arena
Oktober 5, 2015 09:20 MYT
Rodgers (gambar) mengambil alih jawatan ketua jurulatih daripada ikon Anfield, Kenny Dalglish pada tahun 2012. - Foto Reuters / Lee Smith
Berikutan satu lagi persembahan hambar daripada anak-anak buahnya, pengendali Brendan Rodgers dipecat dengean segera ketika Liverpool terikat seri 1-1 menentang Everton dalam perlawanan Merseyside derby di Goodison Park.
Rodgers mengambil alih jawatan ketua jurulatih daripada ikon Anfield, Kenny Dalglish pada tahun 2012 dan hampir meraih kejuaraan Liga Perdana Inggeris pertama buat Liverpool sebelum dipintas Manchester City pada perlawanan terakhir kempen 13/14.
Ketika di Anfield, beliau terpaksa melihat tonggak utama seperti Steven Gerrard, Jamie Carragher, Luis Suarez dan Raheem Sterling angkat kaki namun ramai penyokong The Kop berasa beliau mampu mengawal penghijrahan masing-masing dengan lebih baik, sekali gus menjaga nama baik Liverpool.
Kadangkala, pengurus yang berasal dari Ireland Utara itu juga terlalu optimis ketika mengaturkan skuad utamanya menerusi rombakan dan pendekatan taktikal yang tidak menjadi dan terlalu meumitkan buat pemainnya.
Apapun, Rodgers mempunyai peratus kemenangan sebanyak 51.6% (hanya belakang zaman Rafael Benitez) selepas mengendalikan 55 kemenangan dalam 99 perlawanan bersama Liverpool namun prestasinya ketika berdepan pasukan besar kurang memuaskan.
Pihak pengurusan Liverpool berharap untuk mendapatkan khidmat pengurus baru sebelum perlawawanan seterusnya menentang Tottenham Hotspur dalam saingan Liga Perdana Inggeris.
Antara calon-calon yang dikhabarkan adalaha Jurgen Klopp, Carlo Ancelotti, Frank de Boer (Ajax Amsterdam), Unai Emery (Sevilla), Marcelo Bielsa dan Garry Monk (Swansea City).

Kini, Liverpool menghuni tangga ke-10 dalam carta Liga Perdana Inggeris manakala tempat kedua dalam Kumpulan B saingan Europa League setelah hanya mengutip 2 mata selepas dua perlawanan awal.

#bola sepak #BPL #Brendan Rodgers #EPL #Liga Perdana Inggeris #Liverpool
;