Liverpool mudah 'laukkan' United

Sinar Harian
Mac 6, 2023 08:06 MYT
Nunez (kanan) meraikan jaringannya bersama Salah di Anfield pada awal pagi Isnin. - Foto EPA
LIVERPOOL ternyata berada dalam kelas tersendiri apabila mudah membenam musuh tradisi, Manchester United 7-0 dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Anfield pada awal pagi Isnin.
Tampil beraksi di laman sendiri, Liverpool jelas menguasai perlawanan sejak minit pertama, namun United tampak lebih berbahaya ketika melakukan serangan.
Kapten United, Bruno Fernandes hampir merobek gawang Liverpool pada minit ke-20, namun tandukannya tersasar selepas menerima hantaran Diogo Dalot.
Ketika aksi babak pertama seakan-akan berakhir tanpa jaringan, Cody Gakpo berjaya meledak gol pembukaan Liverpool menerusi rembatan kencang pada minit ke-43.
Bersambung babak kedua, Liverpool tidak menunggu lama untuk mengejutkan United apabila giliran Darwin Nunez meledak gol kedua The Reds pada minit ke-47.
Liverpool terus memberi tekanan kepada United apabila Gakpo menyumbat gol kedua peribadinya berselang tiga minit kemudian selepas bijak menyudahkan hantaran Mohamed Salah.
Tersentak dengan dua jaringan awal Liverpool pada babak kedua, pengendali United, Erik ten Hag membuat pertukaran pemain dengan memasukkan Alejandro Garnacho dan Scott McTominay.
Namun, Liverpool nyata tidak terkesan dengan taktikal Ten Hag apabila terus menghukum kealpaan barisan pertahanan United dengan gol keempat hasil jaringan Salah pada minit ke-66.
Pada ketika United sedang tercari-cari rentak bagi mengimbangi tempo permainan Liverpool, Nunez menambah derita di kem The Red Devils apabila meledak gol kelima pada minit ke-75.
Biarpun berkelebihan lima gol, Liverpool tidak mengendurkan asakan mereka, sebaliknya terus mengasak kubu United bagi menambah jaringan.
Hasilnya, Salah sekali lagi merobek gawang United dengan gol keenam pada minit ke-84 sebelum Roberto Firmino melengkapkan hari gemilang Liverpool dengan gol ketujuh berselang lima minit kemudian.
Salah kini muncul penjaring terbanyak Liverpool di pentas EPL dengan catatan 129 gol bagi mengatasi rekod sebelum ini yang dipegang Robbie Fowler (128 gol).
Kemenangan Liverpool itu melonjakkan The Reds ke tangga kelima, manakala United kekal di tangga ketiga di belakang Arsenal dan Manchester City.
Kekalahan besar United itu juga menyaksikan The Red Devils mengulangi rekod kekalahan terbesar pernah dicatat mereka selepas tewas 0-7 kepada Wolverhampton Wanderers pada 26 Disember 1931.
* Artikel asal disiarkan di Sinar Harian.
#Manchester United #Liverpool #EPL #Manchester kalah 7-0
;