Liverpool menang bergaya
Sinar Harian
Oktober 27, 2023 11:00 MYT
Oktober 27, 2023 11:00 MYT
LIVERPOOL berjaya mencatat tiga kemenangan berturut-turut dalam saingan Liga Europa apabila menewaskan Toulouse 5-1 pada awal pagi Jumaat.
Dalam aksi di Anfield itu, Diogo Jota meletakkan Liverpool di hadapan seawal minit kesembilan sebelum disamakan oleh Thijs Dallinga pada minit ke-16.
Wataru Endo menanduk masuk gol pertamanya untuk The Reds bagi kembali meletakkan pasukan di hadapan dalam tempoh setengah jam permainan sebelum Darwin Nunez menyumbat gol ketiga pasukan empat minit kemudian.
Ryan Gravenberch menambah gol keempat pada separuh masa kedua selepas menyambar bola percubaan Nunez yang terkena tiang sebelum Mohamed Salah meledak gol kelima pada masa kecederaan.
“Kebanyakan masa kami berada dalam kawalan sepenuhnya.
"Kami membuat gol yang bagus, tiada siapa yang cedera, malam yang sempurna,” kata pengendali Liverpool, Jurgen Klopp.
Liverpool mengungguli Kumpulan E dengan sembilan mata dan berpeluang mengesahkan tempat ke pusingan 16 terakhir jika berjaya sekali lagi berjaya menewaskan Toulouse di Perancis bulan depan.
Mereka unggul lima mata daripada Toulouse dan Union Saint-Gilloise dari Belgium yang turut mencatatkan kemenangan ke atas kelab dari Austria, LASK.
Dalam pada itu, Brighton meraih kemenangan pertama dalam saingan eropah itu ketika mereka menewaskan Ajax 2-0 dalam aksi Kumpulan B.
“Kemenangan pertama di Eropah untuk Brighton.
"Ia adalah hari yang hebat untuk peminat, kelab dan pemilik kami," kata pengendali Brighton, Roberto De Zerbi. - Sinar Harian