Liverpool lebur rekod empat kekalahan berturut
Astro Awani
Februari 28, 2021 05:49 MYT
Februari 28, 2021 05:49 MYT
LIVERPOOL meleburkan rekod empat kekalahan berturut-turut dalam Liga Perdana.
Ia mencatatkan kemenangan 2-0 ke atas Sheffield United. Gol pertama Reds dijaringkan Curtis Stones.
Jaringan kedua pula terhasil dari jaringan sendiri pemain Sheffield United, Kean Bryan. Gol kedua ini juga diraikan The Reds sebagai gol ke 7,000 dalam aksi utama.
Kemenangan meletakkan anak buat Jurgen Klopp di tangga keenam liga, dua mata daripada penghuni tangga keempat, West Ham United.
Sheffield United, masih kekal di tangga tercorot.
Sementara itu, Manchester United semakin sukar mengejar pendahulu liga Manchester City. Ini selepas United sekadar mencatat keputusan seri tanpa jaringan dengan Chelsea.
Walaupun kekal di tangga kedua, United masih ketinggalan 12 mata berbanding City. Chelsea pula masih gagal menembusi tembok empat pasukan teratas.
United, yang hanya kalah perlawanan liga sekali, hampir mendahului menerusi penalti gara-gara bola terkena tangan Callum Hudson Odoi.
Namun pengadil membatalkan keputusan itu selepas meneliti video bantuan pengadil (VAR).
The Blues yang masih memegang rekod tanpa kalah di bawah pengurus baru juga mempunyai peluang menjaringkan gol. Namun ketangkasan David De Gea dapat menampan cubaan itu.
Tottenham Hotspur pula melonjakkan peluang untuk kelayakan Eropah.
Ini selepas kelab itu menang 4-0 ke atas Burnley. Gareth Bale menjaringkan dua gol untuk Spurs, masing-masing pada minit ke 2 dan 55.
Sementara dua lagi gol disumbangkan Harry Kane dan Lucas Moura. Spurs sebelum ini kalah lima daripada enam perlawanan liga.
Kemenangan itu meletakkan Spurs di tangga kelapan liga. Burnley pula di tangga ke 15.
Dalam pada itu, hasrat Leicester City untuk terus menghambat pendahulu liga, Manchester City berkecai selepas mereka dikecewakan menerusi kekalahan 3-1 di tangan Arsenal.