Liverpool lebarkan status pendahulu EPL

Sinar Harian
November 24, 2024 07:30 MYT
Mohamed Salah menjaringkan gol menerusi sepakan penalti ketika perlawanan EPL antara Southampton dan Liverpool di Southampton, England, 24 Nov 2024. (Foto AP)
LIVERPOOL melebarkan status pendahulu selepas menewaskan Southampton, 3-2 dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stadium St Mary's pada Ahad.
Skuad kendalian Arne Slot yang masih segar dengan kemenangan 2-0 ke atas Aston Villa di laman sendiri 10 November lalu, tampil dengan aksi positif.
Hasilnya Liverpool terlebih dulu meledak gol pembukaan dijelmakan pemain tengah dari Hungary, Dominik Szoboszlai pada minit ke-30.
Begitupun jaringan itu tidak kekal lama apabila penyerang The Saints, Adam Armstrong meledak gol penyamaan pada minit ke-42.
Beraksi pada babak kedua menyaksikan giliran The Saints memimpin perlawanan setelah Mateus Fernandes meletakkan tuan rumah di depan pada minit ke-56.
Liverpool yang tidak mengalah bangkit meningkatkan tekanan ke atas bahagian pertahanan Southampton yang akhirnya dijelmakan hasil sentuhan Mohamed Salah minit ke-65 sebelum menyempurnakan jaringan kedua peribadinya minit ke-83.
Kejayaan meraih tiga mata itu jelas menjadi motivasi buat Liverpool sebelum melayan kunjungan gergasi La Liga Sepanyol, Real Madrid dalam aksi Liga Juara-Juara di Stadium Anfield pada 28 November ini. - Sinar Harian
#Liverpool #EPL #Mohamed Salah #Southampton
;