Liverpool kembali ke puncak, City, Arsenal tumbang
Sinar Harian
November 3, 2024 09:40 MYT
November 3, 2024 09:40 MYT
LIVERPOOL menikmati hari sempurna apabila bangkit dari ketinggalan untuk menewaskan Brighton 2-1 dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stadium Anfield.
Mohamed Salah memastikan tiga mata untuk Liverpool dalam perlawanan yang disifatkan sebagai ulangan selepas kedua-dua pasukan berentap dalam pentas Piala Liga yang menyaksikan kemenangan 3-2 pelawat di Stadium Amex.
Bagaimanapun Liverpool ketinggalan pada minit ke-14 minit, selepas percubaan pemain antarabangsa Turkiye, Ferdi Kadioglu, menewaskan Caoimhin Kelleher, ketika pelawat menguasai permainan separuh masa pertama.
Separuh masa kedua, skuad Arne Slot tampil agresif bergelut untuk menyamakan kedudukan akhirnya menemui gol menerusi jaringan Cody Gakpo pada minit ke-70.
Jaringan tersebut menaikkan moral The Reds yang kemudian menyaksikan percubaan menakjubkan Salah dua minit selepas itu menjelmakan mata ke-25 liga kelab Merseyside berkenaan.
Kemenangan kelapan liga tersebut meletakkan pasukan Slot kembali ke puncak selepas seteru kejuaraan EPL, Manchester City dan Arsenal, mengalami kekalahan mengejut di laman lawan.
Liverpool dua mata mengatasi juara Manchester City yang tewas 1-2 kepada Bournemouth di Stadium Vitality.
Arsenal juga turut tewas 0-1 semasa kunjungan ke Stadium St James's Park hasil jaringan minit ke-12, bintang Sweden, Alexander Isak. - Sinar Harian