Liverpool juara Piala FA, kini buru empat gelaran

Astro Awani
Mei 15, 2022 11:45 MYT
Pemain Liverpool Jordan Henderson menjulang trofi selepas pasukannya memenangi final Piala FA menentang Chelsea. - Foto AP
LONDON: Liverpool memenangi Piala FA buat kali pertama sejak 2006 selepas penentuan sepakan penalti dramatik menentang Chelsea sekali gus berada di landasan untuk memburu empat kejuaraan.
Skuad kendalian Jurgen Klopp itu menang 6-5 menerusi penentuan sepakan penalti di Wembley ketika pertahanan Greece, Kostas Tsimikas menjadi wira dengan sepakan penentu selepas Alisson Becker menghalang percubaan Mason Mount.
Perlawanan akhir yang sengit tamat seri 0-0 selepas masa tambahan, mengundang penentuan sepakan penalti yang mendebarkan.
Sepakan pemain Chelsea, Cesar Azpilicueta diselamatkan manakala cubaan bintang Liverpool, Sadio Mane ditepis Edouard Mendy.
Buat kali kedua musim ini, Liverpool muncul sebagai pemenang menentang Chelsea menerusi penentuan penalti, setelah menewaskan mereka 11-10 berikutan satu lagi keputusan seri 0-0 dalam perlawanan akhir Piala Liga pada Februari lepas.
Kejayaan Liverpool mengekalkan mereka dalam usaha untuk menjadi pasukan Inggeris pertama memenangi kesemua empat trofi utama dalam satu musim.
Dengan dua kejuaraan yang telah diperolehi, The Reds mengharapkan keciciran mata oleh pendahulu Liga Perdana, Manchester City, yang mendahului tiga mata daripada mereka dalam perebutan kejuaraan dengan baki dua perlawanan untuk kedua-dua pasukan.
Walaupun Liverpool tidak dapat memenangi kejuaraan Inggeris kedua dalam tiga musim, mereka masih boleh menamatkan kempen yang menakjubkan dengan memenangi perlawanan akhir Liga Juara-Juara menentang Real Madrid di Paris pada 28 Mei.
Bagaimanapun, satu-satunya kebimbangan Klopp ialah sama ada pasukannya akan tampil dengan kekuatan penuh menentang Real.
Liverpool kehilangan Mohamed Salah dan Virgil van Dijk akibat kecederaan yang boleh menghalang mereka daripada dua perlawanan terakhir Liga Perdana minggu depan dan akan mencetuskan kebimbangan tentang keupayaan mereka untuk pulih tepat pada masanya pada perlawanan akhir Liga Juara-Juara.
Liverpool telah memenangi kedua-dua piala domestik pada musim yang sama buat kali pertama sejak 2000-01, dengan Klopp meraih trofi lama terkenal itu buat kali pertama.
Bagi Chelsea, ia merupakan kekalahan ketiga berturut-turut di final Piala FA selepas kekalahan sebelum ini kepada Leicester dan Arsenal.
#jurgen klopp #Liverpool #Chelsea #Piala FA
;