Liverpool 'hantui' latihan pra-musim Manchester United di Australia
Israr Khalid
Julai 13, 2019 15:58 MYT
Julai 13, 2019 15:58 MYT
PERSETERUAN antara Manchester United dengan Liverpool sememangnya tak dapat disangkal kehangatannya, dan adakalanya menarik untuk diraikan bersama penyokong-penyokong pasukan lain.
Terbaharu, satu kain rentang telah diterbangkan di ruang udara di mana skuad Manchester United sedang menjalani latihan terbuka pra-musim di Stadium WACA, Perth pada Khamis.
Disyaki diutus oleh penyokong Liverpool kerana pada kain rentang tersebut tertera: ‘LIVERPOOL FC - 6 X EUROPEAN CHAMPIONS!’, ia diterbangkan di 'atas kepala' anak-anak buah Ole Gunnar Solskjaer yang sedang berlatih di hadapan kira-kira 12,000 penyokong The Red Devils.
Namun tidak diketahui kain rentang bermesej yang diterbangkan pesawat kecil berwarna putih itu ilham seorang penyokong Liverpool atau secara berkumpulan.
Apa yang pasti, ia dilepaskan pada waktu yang sangat tepat ketika United sedang bekerja keras untuk ‘membuang sial’ yang membelenggu mereka sejak persaraan Sir Alex Ferguson.
Old Trafford menempuh kempen yang cukup memalukan musim lepas, jika dibandingkan dengan Liverpool yang merangkul gelaran Raja Eropah buat kali keenam sementara seteru tetangga mereka Manchester City berjaya mempertahankan kejuaraan Liga Perdana Inggeris.
Memang waktu yang tepat, atau mungkin boleh dijadikan pemangkin semangat buat Solskjaer & Co. untuk berusaha lebih keras.
Solskjaer tekad untuk menjadikan pemain-pemainnya cergas selepas mendapati dan mengkritik secara terbuka tentang tahap kecergasan mereka selepas mengambil alih daripada Jose Mourinho pada Disember 2018.
Beliau percaya membawa anak-anak buahnya menjelajah Australia, Singapura dan China hanya selepas seminggu berlatih di Carrington bakal memberikan kesan kepada mereka, tetapi itulah hakikat yang perlu diterima sebagai pemain United.
“Ada kalanya apabila anda pergi ke mana-mana anda dapat semangat baharu, tenaga baharu dan hadir ke sini, ya kami tahu ia satu perjalanan yang jauh untuk ditempuh, tetapi itulah sebahagian daripada berada di Man Utd. Kami adalah kelab terbesar di dunia, kami ada penyokong di seluruh dunia.
“Saya sudah biasa, saya bermain untuk United selama 11 tahun, saya sudah biasa dengan pra-musim begini. Ia akan menjadi sukar, apabila kami pulang kami mungkin akan sedikit ‘jetlag’, tetapi saya bercakap tentang keutuhan dan anda perlu mengatasinya, begitulah caranya untuk berada di atas,” jelasnya.
Sebagai sebahagian perlawanan pra-musim di Australia, United akan menentang Perth Glory di Optus Stadium dan Leeds United minggu hadapan.