Liverpool buktikan Manchester City tidak kebal, tak perlu Coutinho

Ian Johan Ariff
Januari 15, 2018 10:15 MYT
Liverpool menamatkan rentetan 30 kemenangan tanpa kalah Manchester City di Anfield semalam. Gambar - AP Photo/Dave Thompson.
SELEPAS mengharungi 30 perlawanan tanpa sebarang kekalahan dalam liga Inggeris (sejak musim lepas), Manchester City akhirnya tumpas 4-3 kepada Liverpool dalam satu pertarungan yang mendebarkan di Anfield, semalam.
Kejayaan ini merupakan satu reaksi pantas yang positif ditunjukkan Liverpool selepas ramai yang mempersoalkan kemampuan the Reds yang menjual tonggak utama mereka, Philippe Coutinho kepada Barcelona dengan nilai perpindahan £142 juta.
Babak pertama menyaksikan kedudukan berakhir dengan 1-1, apabila Leroy Sane mendapat gol penyamaan buat City pada minit ke-40 selepas tuan rumah berjaya di depan menerusi Alex-Oxlade Chamberlain pada minit ke-9.
Liverpool kemudian menjaringkan tiga gol dalam tempoh lapan minit dalam babak kedua, menerusi Roberto Firmino (minit ke-59), Sadio Mané (minit ke-61) dan Mohamed Salah (minit ke-68) untuk mendahului 4-1.
Walaupun Bernardo Silva dan Ilkay Gundogan berjaya menjaringkan gol untuk kedudukan 4-3 di penghujung permainan, Liverpool berjaya bertahan untuk meneruskan rekod cemerlang ke atas Liverpool ke atas City di Anfield.
City masih belum mencapai kemenangan di Anfield dalam 18 pertemuan sejak Mei 2003.
Kejayaan ini membuktikan Liverpool mempunyai pemain yang mampu untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan Coutinho.
Dua pemain baharu Liverpool, Oxlade Chamerlain dan Andrew Roberston antara pemain yang cemerlang di atas padang menentang City semalam.
Liverpool juga turun menentang City tanpa pertahanan termahal di dunia, Virgil van Dijk yang dibeli dengan harga £75 juta dari Southampton.
Kekalahan City juga bermakna tiada lagi pasukan yang berjaya meyamai rekod tanpa kalah dalam satu musim yang dibuat Arsenal pada musim 2003-2004.
Walaupun tumpas, City masih lagi kekal di tangga teratas liga dengan 62 mata, 15 mata di depan pencabar terdekat Manchester United yang akan menentang Stoke City awal pagi Selasa.
Liverpool naik satu anak tangga di tempat ke-3, berkongsi 47 mata dengan United dan Chelsea.
Bagaimana Liverpool mengalahkan Manchester City?
Pemain-pemain Liverpool dilihat mempunyai tahap kecergasan yang tinggi untuk mengaplikasikan taktik ‘gegenpressing’ ataupun ‘counter pressing’ dengan berkesan, dimana mereka memberi tekanan kepada pihak lawan sejurus kehilangan bola.
Taktik tersebut amat penting dalam perlawanan menentang City bagi menyukarkan anak buah Pep Guardiola untuk melakukan gerakan serangan ataupun merancang serangan dari bahagian pertahanan, seperti yang dilakukan pasukan itu sebelum ini.
Sehingga wisel penamat, hampir kesemua pemain masih mampu memberi tekanan kepada pemain lawan seperti yang dilakukan pertahanan kiri, Andrew Robertson yang masih mampu mengejar bola untuk memberi tekanan sehingga ke kawasan penjaga gol City, Ederson di penghujung tempoh permainan.
Liverpool pula memanfaatkan sepenuhnya kesilapan yang dibuat pemain-pemain City, hasil daripada tekanan yang dibuat, untuk menjaringkan empat gol.
#Andrew Robertson #Anfield #Arsenal #Bernardo Silva #Ederson #gegenpressing #Ilkay Gundogan #Leroy Sane #Liverpool #Manchester City #Mohamed Salah #Oxlade Chamberlain #Pep Guardiola #Philippe Coutinho #Roberto Firmino #Sadio Man #Stoke City #The Reds #Virgil Van Dijk
;