Liverpool belasah Chelsea

Sinar Harian
Februari 1, 2024 10:00 MYT
Aksi Diogo Jota menjaringkan gol pertama pasukannya ketika perlawanan EPL antara Liverpool dan Chelsea, di Stadium Anfield, Liverpool, England, 31 Jan 2024. (Foto AP)
PENDAHULU Liga Perdana Inggeris, Liverpool mengukuhkan usaha memburu kejuaraan apabila menewaskan Chelsea 4-1 pada Khamis.
Pendedahan mengejutkan Jurgen Klopp bahawa dia akan berundur sebagai bos Liverpool pada penghujung musim tidak menjejaskan momentum pasukan untuk memburu empat piala dalam semua kejohanan.
The Reds menumpaskan Norwich 5-2 dalam pusingan keempat Piala FA pada Ahad dan turut berlaku 'kejam' ke atas Chelsea ketika lawan mereka itu berkunjung ke Anfield.
Gol separuh masa pertama daripada Diogo Jota dan Conor Bradley meletakkan Liverpool di hadapan.
Dominik Szoboszlai menjaringkan gol ketiga Liverpool sebelum Christopher Nkunku membalas untuk Chelsea.
Namun, Luis Diaz memastikan aksi dominan tuan rumah dan kemenangan bergaya dengan gol keempat.
Liverpool berada lima mata di hadapan City di tempat kedua, yang mempunyai satu perlawanan dalam tangan ketika mereka cuba merosakkan usaha Klopp untuk meraih gelaran kedua Liga Perdana dalam tempoh sembilan tahun.
Tidak tewas dalam 11 perlawanan terakhir mereka dalam semua pertandingan, Liverpool akan berhadapan Arsenal di tempat ketiga pada Isnin ini.
“Anda perlu bermain dengan cemerlang untuk memastikan Chelsea dapat dikawal. Tetapi cara kami memulakan permainan benar-benar hebat.
“Kami meletakkan mereka di bawah tekanan. Penekanan balas adalah yang paling utama, meletakkan mereka di kawasan yang mereka tidak mahu. Ia adalah malam yang hebat," kata Klopp.
Anak buah Klopp akan bertemu Chelsea sekali lagi dalam perlawanan akhir Piala Liga di Wembley pada 25 Februari, dengan The Reds juga masih bersaing dalam Piala FA dan Liga Europa. - Sinar Harian
#Liverpool #Chelsea #Liga Perdana Inggeris #jurgen klopp
;