Liverpool antara pasukan terbaik dunia - Fabio Carvalho
Astro Arena
Julai 4, 2022 11:56 MYT
Julai 4, 2022 11:56 MYT
FABIO CARVALHO percaya dia telah menyertai antara kelab terbaik dunia, Liverpool, selepas melengkapkan perpindahannya daripada Fulham.
Liverpool mengumumkan bahawa mereka telah bersetuju untuk menandatangani pemain muda Portugal itu pada Mei lalu selepas gagal mendapatkannya menjelang tarikh tutup jendela perpindahan Januari lalu walaupun hanya mengumumkan perkara itu semalam.
Carvalho menghasilkan 10 gol dan lapan bantuan jaringan ketika Fulham memenangi Liga Kejuaraan musim lalu, membintangi kejayaan kelab itu menjaringkan 106 gol liga untuk menjadi pasukan pertama melakukannya dalam saingan divisyen dua sejak Manchester City menjaringkan 108 gol dalam musim 2001-02.
Pemain berusia 19 tahun itu menjadi pembelian ketiga Liverpool sepanjang jendela perpindahan kali ini selepas turut mendapatkan penyerang, Darwin Nunez, dan pertahanan sayap, Calvin Ramsey.
Selepas ketibaannya di Anfield diumumkan secara rasmi, Carvalho menyasarkan untuk mencapai kejayaan besar bersama skuad bimbingan Jurgen Klopp berkenaan.
"Ia perasaan yang luar biasa untuk berada di sini bersama antara kelab terbaik di dunia," katanya dalam laman web rasmi pasukan itu.
"Jadi, saya gembira untuk berada di sini dan tidak sabar untuk memulakannya.
"Apabila anda mengetahui Liverpool berminat untuk mendapatkan anda, hanya ada satu perkara yang terlintas di fikiran, iaitu untuk menyertai mereka dan mencuba untuk berada dalam pasukan itu.
"Harap-harap saya akan dapat mencapai kejayaan yang besar.
"Saya sudah bercakap dengan semua orang termasuk pengurus dan ia berasa amat selesa.
"Apabila ia berasa seperti itu, amat mudah untuk anda membuat keputusan," katanya.
Carvalho berpotensi untuk melakukan penampilan pertamanya bersama The Reds dengan berdepan kelab lamanya apabila Liverpool dijadualkan untuk bertandang ke Craven Cottage bagi aksi pembukaan Liga Perdana Inggeris pada 6 Ogos depan.