Liverpool akan bangkit semula - Hyypia
Bernama
September 30, 2022 05:30 MYT
September 30, 2022 05:30 MYT
PETALING JAYA: Bekas pemain tengah pertahanan Liverpool Sami Hyypia yakin pasukan 'The Reds' itu bakal mengakhiri Liga Perdana Inggeris musim ini dengan keputusan cemerlang pada Mei tahun depan, meskipun bermula kurang baik.
Legenda Liverpool itu berkata anak buah Jurgen Klopp pernah ketinggalan 13 mata di belakang juara musim lepas Manchester City (City), namun akhirnya berjaya muncul naib johan liga dengan mengumpul 92 mata iaitu satu mata sahaja di belakang City.
"Kami tidak bermula baik musim ini kerana kecederaan yang menimpa pemain, tetapi masa rehat susulan kemangkatan Ratu Elizabeth II membolehkan pemain kami yang cedera pulih dan cergas kembali dan kami semakin konsisten.
"Ketika ini kami ketinggalan sembilan mata di belakang City. Tahun lepas kami ketinggalan 13 mata di belakang mereka dan kami hampir mengatasi mereka, jadi, ia tidak mustahil, semuanya boleh terjadi kerana musim masih panjang," katanya kepada pemberita selepas pelancaran kedai rasmi Liverpool FC pertama di Sunway Pyramid di sini, pada Jumaat.
Liverpool kini pada tangga kelapan EPL dengan sembilan mata manakala City yang menampilkan aksi cemerlang berada pada kedudukan kedua dengan 17 mata, iaitu satu mata di belakang pendahulu liga Arsenal.
Sementara itu, Hyypia berkata penyerang Uruguay Darwin Nunez memerlukan lebih masa untuk membiasakan diri dengan sistem Klopp, sebelum beliau boleh menunjukkan prestasi cemerlangnya seperti ketika bermain dengan kelab Portugis, Benfica sebelum ini.
"Saya tahu bukan mudah untuk membiasakan diri dengan Liga Perdana, ambil masa.. beliau akan baik-baik saja. Beliau akan jaringkan banyak gol," kata warga Finland berusia 48 tahun itu.
Nunez yang berpindah ke Anfield dengan yuran perpindahan 85 juta pound, telah menjaringkan dua gol , termasuk satu gol pada perlawanan pertama EPL yang menyaksi Liverpool seri dua gol ketika menentang Fulham di Craven Cottage, London, bulan lepas.
-- BERNAMA