'Liverpool 2.0 dalam pembikinan'

Sinar Harian
September 8, 2023 08:30 MYT
Virgil van Dijk antara tonggak penting Liverpool. - Gambar fail AP
KAPTEN Liverpool dan Belanda, Virgil van Dijk percaya kelab Merseyside itu berada dalam fasa peralihan untuk kembali digeruni dan dihormati di arena bola sepak Inggeris.
Malah, pertahanan kental itu yakin dia masih mempunyai banyak perkara untuk ditawarkan kepada kelab dan negara selepas bergelut dengan prestasi musim lalu.
Pemain berusia 32 tahun yang sebelum ini dikritik berikutan prestasinya musim lalu juga menyifatkan kempen baharu itu bermula dengan baik, walaupun dibuang padang di Newcastle United.
"Ya, kami semua berada dalam fasa peralihan ke arah Liverpool baharu.
“Dan, sudah tentu ia sesuatu yang mengembirakan apabila dapat merasakan bahawa pengurus (Jurgen Klopp) masih menganggap saya sebahagian daripada pasukan baharu, Liverpool 2.0.
"Kami bercakap banyak dalam minggu pertama persediaan. Itu menunjukkan keyakinan Klopp kepada saya," kata Van Dijk.
Sebagai rekod, Liverpool menamatkan saingan di tempat kelima mengecewakan dalam Liga Perdana Inggeris musim lalu, terlepas peluang Liga Juara-Juara buat kali pertama sejak musim 2015-16.
Dan Van Dijk dinamakan kapten Liverpool selepas Jordan Henderson memilih menyahut cabaran dalam Liga Pro Saudi di Arab Saudi pada Julai lalu juga mengakui terdapat perbezaan dalam peranan bersama kelab dan negara.
“Sememangnya saya bangga dan ia adalah tanggungjawab yang besar.
“Ini tidak berbeza dengan pasukan kebangsaan Belanda tetapi dengan Oranje anda sering hanya bersama selama beberapa hari, jadi jumlah tugas sebagai kapten tidak terlalu teruk.
"Terdapat banyak pemain yang terlibat di kelab, baik dalam mahupun luar padang. Anda terlibat dalam hampir semua perkara," kata Van Dijk.
Van Dijk sebelum ini dibuang padang selepas 28 minit ketika Liverpool menang 2-1 ke atas Newcastle United di St James' Park, didakwa memaki hamun pengadil ketika dia meninggalkan padang, dan telah didakwa Persatuan Bola Sepak England apabila bertindak secara tidak wajar selepas dilayangkan kad merah.
“Itu bukan tipikal bagi saya tetapi itu adalah kad merah...
"Saya tidak pernah mendapatnya sebelum ini di Liverpool, dan saya hanya berfikir empat kali dalam keseluruhan karier saya. Tetapi selain itu saya masih memulakan musim dengan baik.
"Saya berasa baik dan kuat. Saya fikir ia berjalan lancar menentang Chelsea (1-1 seri) dan Bournemouth (3-1 menang). Walaupun dilayangkan kad merah, permulaan adalah baik. Saya tidak sabar untuk kembali," kata Van Dijk.
Van Dijk telah menjalani penggantungan ketika Liverpool menang 3-0 ke atas Aston Villa, 27 Ogos lalu dan boleh digantung untuk perlawanan lain.
Liverpool kini berada di tangga ketiga dengan 10 mata daripada empat perlawanan, dua mata di belakang pendahulu Manchester City.
Tambah Van Dijk lagi, dia mempunyai masa cukup untuk mendapatkan rehat yang baik tanpa sebarang kejohanan.
"Saya banyak bercakap dengan orang di sekeliling sejak beberapa bulan kebelakangan ini. Isteri saya sangat penting dalam hal ini tetapi saya juga mempunyai orang di kelab yang saya banyak bercakap dengannya.
"Ia bermula dengan mengkritik diri sendiri sebagai pemain bola sepak dan sentiasa tertanya-tanya bagaimana keadaan boleh menjadi lebih baik. Namun pada penghujung musim lalu, saya sudah menyedari bahawa prestasi saya semakin meningkat dari satu perlawanan ke satu perlawanan," katanya. - Sinar Harian
#Liverpool #Virgil Van Dijk #bola sepak #penggantungan
;