Litar lumba boleh dijadikan fasiliti tingkatkan kemahiran pemanduan di jalan raya

Bernama
Mac 5, 2022 05:01 MYT
Wazi (kanan) memberi tunjuk ajar kepada peserta kursus dalam misi pencarian bakat sukan lumba motosikal pada Program Myfit@Motorsport Klass CubPrix KBS di Ipoh, 5 Mac 2022. --fotoBERNAMA
IPOH: Kewujudan lebih banyak litar perlumbaan bukan sahaja dapat memperkasa sukan permotoran negara, malah boleh dijadikan sebagai fasiliti yang berfungsi melatih orang ramai dalam meningkatkan kemahiran menunggang motosikal atau pemanduan kereta, di jalan raya.
Bekas pelumba motosikal negara Wazi Abdul Hamid berkata kaedah itu telah banyak digunakan di negara luar, dan ia dilihat membantu dalam mengurangkan kadar kematian di jalan raya.
"Kita kena tahu sebenarnya fungsi litar itu pelbagai, bukan semata-mata tempat berlumba. Di Eropah umpamanya, bila tiada perlumbaan pemilik litar akan buka kepada orang ramai untuk gunakan kemudahan tersebut, bagi meningkatkan kemahiran memandu.
"Saya fikir perkara sama dapat kita lakukan jika kita ada litar yang mencukupi, mendidik orang ramai dari sudut kemahiran serta keselamatan," katanya ketika ditemui pada sidang media di Program Myfit@Motorsport Klass CubPrix Kementerian Belia dan Sukan (KBS) di sini, semalam.
Sementara itu, mengulas hala tuju kejohanan motosikal cub prix, Wazi berkata sukan tersebut wajar diperluaskan di peringkat negeri bagi mencungkil bakat-bakat baharu, menggantikan pelumba sedia ada yang sedang bersaing di peringkat lebih tinggi.
"Kita tidak boleh harapkan kejohanan di peringkat nasional sahaja, kalau boleh setiap negeri dengan kerjasama pihak berkaitan boleh anjurkan kejohanan sama dalam skala yang lebih kecil.
"Ini bukan sahaja dapat mencungkil bakat muda yang berpotensi, malah memastikan sukan ini terus konsisten dan mendapat tempat di hati peminat," katanya.
Ditanya tentang program yang dijalankan, beliau berkata ia dianjurkan dengan kerjasama KBS dan disertai 40 peserta dalam lingkungan usia 13 hingga 18 tahun.
Menurut Wazi objektif utamanya adalah untuk mencungkil bakat baharu dalam sukan cub prix, selain menjadikannya sebagai platform mendidik anak-anak muda, supaya tidak terlibat dalam perlumbaan haram di jalan raya.
"Pengisiannya bukan bersifat suka-suka, tetapi lebih kepada mendekatkan diri dengan anak-anak muda ini supaya mereka mendapat ilmu pengetahuan khususnya tentang sukan cub prix," katanya.
-- BERNAMA
#litar perlumbaan #sukan permotoran #Wazi Abdul Hamid #kemahiran menunggang motosikal
;