Litar Antarabangsa Sepang lakar sejarah, dinobat penganjur terbaik MotoGP 2017

Astro Arena
Disember 6, 2017 18:12 MYT
Saingan GP Malaysia yang berlangsung dari 27 hingga 29 Oktober lalu mencatat kehadiran luar biasa dengan 166,483 penonton, catatan tertinggi sejak perlumbaan itu dianjurkan pada 1999. - Gambar fail
LITAR Antarabangsa Sepang (SIC) melakar sejarah apabila dinobat sebagai penganjur terbaik kejuaraan motosikal dunia Grand Prix Malaysia musim 2017 buat kali kedua selepas 2012.
SIC mendapat pengiktirafan tersebut daripada Persekutuan Motosikal Antarabangsa (FIM) semalam, sekaligus mengatasi 17 lagi penganjur MotoGP musim ini.
"Kami sangat berbangga kerana meraih pengiktarafan ini selepas kali terakhir diraih pada tahun 2012. Ia membuktikan kebolehan SIC untuk menganjurkan saingan peringkat antarabangsa," kata Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Datuk Razlan Razali.
Saingan GP Malaysia yang berlangsung dari 27 hingga 29 Oktober lalu mencatat kehadiran luar biasa dengan 166,483 penonton, catatan tertinggi sejak perlumbaan itu dianjurkan pada 1999.
Kehadiran jaguh MotoGP seperti Valentino Rossi, Jorge Lorenzo dan Marc Marquez terbukti menjadi tarikan utama dalam perlumbaan kelas MotoGP yang dimenangi oleh Andrea Dovizioso.
#gp malaysia #Grand Prix #lakar sejarah #Malaysia #MotoGP #penganjur terbaik #Sepang
;