Litar Antarabangsa Gong Badak bakal beroperasi Januari depan - Ahmad Razif
Bernama
Oktober 21, 2016 12:08 MYT
Oktober 21, 2016 12:08 MYT
Litar bertaraf antarabangsa yang dibina di perkarangan Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak dijangka dapat digunakan mulai Januari tahun hadapan.
Menteri Besar Ahmad Razif Abd Rahman berkata litar yang menelan belanja RM12.7 juta itu diiktiraf Persatuan Automobil Malaysia (AAM) dan kini 60 peratus siap.
"Pembinaannya sedang giat dibangunkan dan dijangka dapat disiapkan mengikut jadual yang ditetapkan. Awal tahun depan ia dapat digunakan bagi perlumbaan permotoran," katanya kepada pemberita selepas meninjau tapak pembinaan litar tersebut semalam.
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan dan Sumber Manusia Negeri, Datuk Rozi Mamat.
Ahmad Razif berkata litar seluas 2.4 hektar yang dibina sejak Disember tahun lalu itu juga mampu memuatkan kira-kira 1,500 penonton manakala di perkarangan litar, ia boleh menempatkan lebih 10,000 peminat sukan permotoran.
Beliau berkata bagi mengelak gangguan bunyi di kawasan persekitaran, Jabatan Kerja Raya telah diminta untuk memasang penghadang bunyi di litar tersebut.
Ia akan turut dilengkapi komponen seperti litar cub prix sepanjang 1.35 kilometer, trek ujian pecut dan gelanggang drift. -- BERNAMA
#AAM
#Ahmad Razif Abd Rahman
#Litar antarabangsa Gong Badak
#Menteri Besar Terengganu
#sukan bermotor