Liridon akui akan tinggalkan Terengganu

Astro Arena
Disember 14, 2023 07:50 MYT
Liridon memberi bayangan, kemungkinan besar dia akan kekal beraksi dalam Liga Malaysia musim depan tetapi sedia berhijrah jika ada tawaran daripada kelab di luar negara. - Foto Astro ARENA
PEMAIN tengah Terengganu, Liridon Krasniqi, mengesahkan bahawa dia akan meninggalkan skuad Peteh itu sebaik saingan Liga Malaysia musim ini berakhir.
Mengakui keputusan untuk berpisah dengan pasukan gergasi Pantai Timur itu bukan sesuatu yang mudah, namun ia perlu diambil demi memastikan kelangsungan kariernya dalam bola sepak.
Liridon turut memberikan bayangan bahawa dia berkemungkinan besar akan kekal beraksi dalam Liga Malaysia musim depan tetapi bersedia untuk berhijrah seandainya ada tawaran daripada kelab di luar negara.
Untuk rekod, Liridon telah melakukan 26 penampilan dalam kesemua kejohanan bersama Sang Penyu musim ini.
"Saya akan tinggalkan Terengganu dan saya rasa saya memperoleh tahun yang amat baik di sini," katanya kepada wartawan Astro Arena, Fadhirul Shuhaimi.
"Saya akan pergi bukan kerana apa-apa, ia hanya keputusan saya yang mahukan sesuatu yang baru.
"Sudah pasti saya 100 peratus mahu kekal dalam Liga Malaysia kerana saya mahu kembali ke dalam skuad kebangsaan. Itulah sasaran saya.
"Tetapi saya memerlukan lebih perlawanan untuk menyerlah dan memberikan sesuatu yang lebih baik.
"Itulah sasaran saya. Saya masih muda, baru berusia 31 tahun dan saya masih boleh bermain," katanya.
#Liridon Krasniqi #Terengganu FC #bola sepak #Liga Malaysia
;