Liputan komprehensif Sukan Olimpik Rio 2016 di Astro
Tan Su Lin
Ogos 1, 2016 21:19 MYT
Ogos 1, 2016 21:19 MYT
Pelanggan Astro kini boleh menonton liputan komprehensif Sukan Olimpik Rio 2016 menerusi 12 saluran berdefinsi tinggi (HD) Astro.
Selain itu, mereka juga berpeluang mengikuti perkembangan terbaharu atlet Malaysia yang beraksi di acara sukan berprestij itu menerusi liputan siaran langsung 15 jam sehari di saluran 801 Astro Arena.
Menurut Ketua Perniagaan Sukan, Astro, Lee Chong Khay, sempena Sukan Olimpik, Astro Arena telah menghantar 36 tenaga kerjanya ke Rio De Janeiro untuk liputan secara langsung dan melaporkan perkembangan atlet negara yang bertanding.
"Ini merupakan liputan paling komprehensif Sukan Olimpik yang pernah kami lakukan. Kami ada 12 saluran khusus hanya untuk Olimpik dan Astro Arena akan memberi fokus terhadap atlet negara dari segi latihan, persiapan dan perkembangan mereka.
"Secara keseluruhan ia merangkumi 3,000 jam liputan dari Rio," katanya ketika ditemui Astro AWANI pada sidang media khas sempena Kempen Negaraku Astro di sini, hari ini.
Turut terbabit sebagai hos dan pengulas Astro Arena, bekas pemain hoki negara, Mirnawan Nawawi yang bakal berkongsi pengalaman pernah mewakili negara di Sukan Olimpik.
"Bagi saya ini adalah satu platform yang sangat menarik saya boleh membawa pengalaman saya di dalam tiga Olimpik bukan sahaja dalam laporan atau ulasan harian tetapi saya akan memastikan saya menyelami perasaan dan situasi atlet apabila mereka bertanding di Sukan Olimpik," katanya.
Selain itu, pelbagai program berbentuk analisis dan juga di sebalik tabir bakal disiarkan, menampilkan perjalanan atlet dan persiapan sempena Olimpik kali ini.