Lions kejutkan skuad ATM
Astro Awani
Januari 10, 2013 09:42 MYT
Januari 10, 2013 09:42 MYT
Juara Piala Sumbangsih, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) gagal meneruskan rentak kemenangan apabila tumpas 1-0 kepada wakil Singapura, Lions Twelve di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi pada Rabu.
Babak pertama menyaksikan kedua-dua pasukan mengamalkan corak permainan taktikal, dalam usaha memastikan gawang tidak dibolosi.
Benteng Lions yang dikemudi pertahanan kebangsaan Singapura, Baihakki Khaizan ampuh menahan asakan ATM, yang diterajui Marlon Alex James pada babak pertama.
Begitu juga benteng Tentera yang dikawal baik Amirridzwan Taj Tajuddin, yang tampak berjaya menangkis asakan awal lawan, yang diterajui kapten Lions, Shahril Ishak.
Masuk babak kedua, Lions Twelve mula menggandakan asakan dalam usaha meraih jaringan pertama.
Usaha skuad bimbingan V. Sundramoorthy ini berhasil apabila Sharil, bijak menyempurnakan peluang pada minit ke-67.
Gol berpunca daripada kegagalan benteng ATM mengeluarkan bola dari dalam kawasan penalty.
Meskipun, ATM menggandakan asakan selepas jaringan itu, Izwan Mahbud kekal kebal di gawang Lions untuk memastikan tiga mata berharga di bawa pulang ke Singapura.