Lionel Messi mahu tinggalkan Barcelona
Astro Awani
Ogos 26, 2020 09:21 MYT
Ogos 26, 2020 09:21 MYT
PEMAIN lagenda Barcelona, Lionel Messi, berhasrat meninggalkan kelab itu.
Messi dilaporkan mahu menggunakan klausa dalam kontraknya, yang membenarkan dia meninggalkan kelab berkenaan tanpa sebarang yuran perpindahan.
Permohonan Messi ini boleh berkuat kuasa serta merta.
Hasrat Messi dipercayai ada kaitan dengan prestasi buruk Barcelona musim ini.
Ini termasuk kekalahan memalukan 8-2 kepada Bayern Munich ketika suku akhir Liga Juara-Juara Eropah.
Pemenang enam kali Ballon d'Or ini membuat penampilan pertama dengan Barca pada 2004.
Sepanjang bersama kelab itu, Messi telah menjulang empat trofi Liga Juara-Juara Eropah.
Pengurusan kelab dalam pada itu memaklumkan, klausa dipohon Messi sudah tamat tempoh.
Ini bermakna, kontrak Messi masih berbaki sehingga 2021.
Pasukan perundangan Messi bagaimanapun mahu mencabar keputusan itu atas alasan tempoh sah musim ini adalah dilanjutkan, mengambil kira perkembangan pandemik koronavirus.
Sementara itu, Bernama melaporkan, biarpun masih mempunyai klausa pelepasan bernilai 700 juta euro dalam kontraknya, Messi sudah menghantar surat menerusi faks ke kelab berkenaan bagi memaklumkan hasratnya.
Akhbar 'El Mundo Deportivo' yang berpangkalan di Barcelona dipetik berkata, kelab itu sudah menerima surat Messi tetapi klausa yang membolehkannya meninggalkan kelab itu secara percuma tamat pada 10 Jun.
Bagaimanapun, Messi percaya klausa itu tidak relevan kerana kempen Barca hanya berakhir pada 14 Ogos selepas tersingkir dari Liga Juara-Juara.
Stesen radio Onda Cero pula melaporkan, Messi tidak berhasrat menjalani ujian PCR yang diatur kelab itu menjelang latihan pramusim di bawah jurulatih baharu Ronald Koeman.
Penyerang yang setakat ini sudah beraksi dalam 737 perlawanan dan menjaringkan 634 gol bersama kelab itu dikatakan ragu mengenai masa depannya di Camp Nou.
#barcelona
#Bayern Munich
#bola sepak
#COVID-19
#jurulatih baharu
#kekalahan memalukan
#kontrak
#latihan pramusim
#Liga Juara-Juara Eropah
#Lionel Messi
#Ronald Koeman
#ujian PCR
#yuran perpindahan