Lionel Messi direhatkan ketika Inter Miami tewas kepada Montreal
Astro Arena
Mac 11, 2024 10:30 MYT
Mac 11, 2024 10:30 MYT
LIONEL Messi direhatkan ketika Inter Miami tewas 2-3 di laman sendiri kepada Montreal dalam aksi Liga Utama Amerika Syarikat (MLS) awal pagi tadi.
Messi bermain dalam setiap minit tiga perlawanan pertama MLS musim ini sejak menyertai kelab diasaskan David Beckham itu pada Julai lalu tetapi dia sekadar duduk di bangku penonton ketika pasukannya menerima kekalahan pertama.
Penolong jurulatih Miami, Javier Morales, memberikan bayangan perkara itu semalam dengan berkata kepada wartawan: "Kita semua mengenali Leo dan dia seorang pemain yang mahu beraksi dalam setiap perlawanan.
"Saya fikir kami akan mengadakan perbincangan dengannya dan melihat keadaannya, melihat bagaimana perasaannya dan akan menentukan yang terbaik buatnya, kerana dia sudah bermain 90 minit dalam setiap perlawanan dan kami akan membuat keputusan terbaik dengan memikirkan mengenai masa depannya."
Messi menerima terjahan keras di ketingnya ketika pasukan itu terikat 2-2 dengan Nashville dalam aksi Piala Juara-Juara CONCACAF pada Jumaat lalu tetapi Morales berkata itu bukan alasan pemain berusia 36 tahun berkenaan direhatkan.