Lionel Messi bakal bertemu budak Afghan yang memakai 'jersi' beg plastik?
Kohilah Sekaran
Februari 2, 2016 12:45 MYT
Februari 2, 2016 12:45 MYT
Bintang bola sepak Argentina, Lionel Messi akan bertemu seorang kanak-kanak Afghanistan yang menjadi perbualan netizen susulan sebaran rakaman gambarnya memakai baju 'jersi' Messi yang diperbuat daripada beg pastik.
Berusia lima tahun, Murtaza Ahmadi yang berasal dari wilayah Ghazni, menjadi popular dalam sekelip mata apabila rakaman gambarnya memakai jersi Argentina buatan beg plastik menjadi viral di media sosial minggu lalu.
Oleh kerana tidak mampu untuk membeli jersi asal Argentina, abang Murtaza telah menghasilkan satu 'jersi' bagi adiknya dengan menggunakan beg plastik yang berjalur biru dan putih.
Malah, nombor Messi turut tertera di belakang jersi berkenaan.
Memetik laporan Daily Mail Online, Persekutuan Bola Sepak Afghan berkata mereka telah menghubungi seorang jurucakap Messi untuk mengaturkan satu pertemuan antara lagenda Barcelona itu dengan Murtaza, tidak lama lagi.
Perkara ini disahkan menerusi satu kenyataan di laman webnya pada Isnin.
Bagaimanapun, masih belum ada sebarang kenyataan daripada Kelab Bolasepak Barcelona tentang perkara ini.