Limpahan rezeki peniaga sempena final Piala Malaysia

Adie Sufian Zulkefli
November 1, 2019 10:00 MYT
Antara yang menjadi tumpuan selain jersi adalah mafela, topi, tuala dan bendera negeri Kedah. - Astro AWANI
Bahang final Piala Malaysia 2019 di Stadium Nasional Bukit Jalil memberi limpahan rezeki buat peniaga jersi dan barangan cenderamata Hijau Kuning.
Perkarangan Stadium Darul Aman bertukar menjadi medan tumpuan penyokong pasukan Lang Merah bagi mendapatkan jersi Hijau Kuning untuk dipakai pada perlawanan final malam esok.
Bagi peniaga, peluang Kedah layak ke pentas final dua kali pada tahun ini memberi limpahan rezeki berganda buat mereka.
Malah, sejak seawal 8 pagi, ada pelanggan yang menunggu peniaga membuka gerai kerana tidak mahu ketinggalan memiliki jersi dengan warna kegemaran mereka.
“Alhamdulillah, dengan jualan Piala Malaysia ini, kami boleh (dapat hasil jualan) lebih. Rezekilah, kita kata. Permintaan dan sambutan hangat adalah untuk jersi home hijau kuning sebab kita tuan rumah,” ujar peniaga Junaidi Jamaluddin
“Setakat ini perniagaan kami agak laris. Ramai yang beli pakaian baru. Walaupun dah ada, tetap beli lagi. Pesanan pun tambah kuota. Sebab, (perlawanan) separuh akhir baru-baru ini pun (dapat sambutan menggalakkan). Alhamdulillah,” kata seorang lagi peniaga Nasriza Mohd Nasir.
Bagi para penyokong, berhabis duit pun tidak mengapa, asalkan mereka dapat apa yang dicari.
Antara yang menjadi tumpuan selain jersi adalah mafela, topi, tuala dan bendera negeri Kedah.
Rata-rata pembeli ingin memiliki barangan itu lebih awal kerana harga di Bukit Jalil dipercayai akan menjadi lebih mahal berbanding yang dijual di Stadium Darul Aman.
“Sambil datang ke sini beli tiket, kami beli baju (jersi). Lepas itu, mungkin esok malam kami akan gerak ke Bukit Jalil, kalau tak ada apa-apa (semuanya lancar),” kata seorang penyokong Lang Merah, Azmi Bakar.
"(Semua ini) untuk (pasukan) Kedah. (Tanda) semangat kita untuk ke final, walaupun kita tahu lawan kita kuat, tapi kita lawan tetap lawan.
"Beli baju dan tiket, habis dalam lebih RM100, (semata-mata) hendak ke Bukit Jalil,” ujar seorang lagi penyokong kuat skuad Kedah, Ajman Ahmad.
#final piala malaysia #JDT #jersi kedah #Kedah #Lang Merah #peniaga #penyokong #perlawanan akhir #Stadium Bukit Jalil
;