Lima kejohanan penentu nasib Andre Anura ke Paris 2024

Bernama
Mac 5, 2024 14:54 MYT
Andre Anura perlu tampil konsisten dalam lima kejohanan tersebut dengan mencatat lompatan sekurang-kurangnya sejauh 16.40 meter (m) sehingga 16.70m untuk berada dalam kelompok 32 atlet terbaik. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Atlet lompat kijang negara, Andre Anura Anuar perlu memburu lompatan terbaik dalam lima kejohanan disertai bagi menghidupkan peluang membuat penampilan sulung pada edisi Sukan Olimpik 2024 di Paris, dijadual bermula dari 26 Julai hingga 11 Ogos depan.
Jurulatihnya Ahmad Firdaus Salim berkata Andre Anura perlu tampil konsisten dalam lima kejohanan tersebut dengan mencatat lompatan sekurang-kurangnya sejauh 16.40 meter (m) sehingga 16.70m untuk berada dalam kelompok 32 atlet terbaik sebelum tempoh kelayakan Road to Paris 24, berakhir 30 Jun ini.
"Sebenarnya kita ada masa lagi sehingga hujung Jun (untuk Andre Anura layak ke Paris). Antara kejohanan yang Andre Anura dijadual beraksi adalah Terbuka Singapura pada April dan kejohanan jemputan di Taiwan pada Mei ini.
"Tiga lagi kejohanan pada Jun nanti adalah Terbuka Malaysia, Terbuka Taiwan dan akhir sekali Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2024 di Indonesia," katanya ketika ditemui selepas Perhimpunan Atlet Program Podium Fasa 1 di sini, semalam.
Berdasarkan ranking Road to Paris 24, atlet berusia 24 tahun itu kini berada di kedudukan ke-48 dengan 1,081 mata.
Dalam pada itu, Ahmad Firdaus tidak bimbang dengan keputusan dilakar juara bertahan Sukan SEA tersebut selepas tewas mengejut kepada atlet dari Sarawak Brendon Ting Li King pada Kejohanan Olahraga Kuala Lumpur All Comers 2024 di Bukit Jalil, Ahad lepas.
Catatan 15.56m Brendon yang mewakili Kawan Athletics itu, sudah cukup untuknya muncul juara sekali gus mengetepikan cabaran Andre Anura yang merekodkan lompatan sejauh 15.39m, untuk pingat perak manakala gangsa milik Andrew George Medina dari Singapore Sports School (15.29m).
Berdasarkan persembahan pada Kejohanan Olahraga Kuala Lumpur All Comers 2024, Ahmad Firdaus mengakui Andre Anura perlu melakukan sedikit perubahan untuk mengimbangi kekuatan ototnya sekali gus dapat kembali ke prestasi terbaiknya sebelum kelayakan ke Sukan Olimpik 2024 berakhir.
-- BERNAMA
#atlet lompat kijang #Andre Anura Anuar #Sukan Olimpik Paris 2024 #kejohanan penentu #RTG
;