Lima jenis dadah dalam badan Tiger Woods ketika ditahan

Reuters
Ogos 15, 2017 18:14 MYT
Woods, pada 29 Mei lalu, ditemui polis ketika sedang tidur dalam kereta di tepi sebatang jalan di Palm Beach, pada jam 3.30 pagi. - Gambar fail/REUTERS
BEKAS pemain golf nombor satu dunia, Tiger Woods, dikesan mengambil lima jenis dadah berbeza ketika ditahan memandu di bawah pengaruh dadah pada Mei lalu.
Memetik laporan ESPN, berdasarkan laporan toksikologi, Woods dikesan mengambil Hydrocodone, yang merupakan sejenis ubat tahan sakit dengan jenama Vicodin; Hydromorphone, yang merupakan kandungan ubat tahan sakit Dilaudid; dadah jenis Alparozam, yang merupakan ubat tidur dengan nama Xanax; Zolpidem, juga sejenis dadah yang terdapat dalam ubat tidur Ambien, serta Delta-9 carboxy THC, iaitu bahan aktif yang dalam marijuana.
Tidak diketahui jika Woods mempunyai preskripsi doktor untuk kesemua ubat-ubat berkenaan. Bagaimanapun, marijuana dikatakan sah digunakan sebagai ubat di Florida.
Woods mendapatkan rawatan di sebuah klinik pada Jun lalu untuk mengatasi masalah ketagihan dadah preskripsi.
Dia dilaporkan telah selesai menjalani rawatan tersebut baru-baru ini.
“Saya sedar kesilapan saya kerana cuba merawat masalah sakit belakang dan insomnia tanpa bantuan pakar perubatan,” kata Woods dalam satu kenyataan.
Woods, pada 29 Mei lalu, ditemui polis ketika sedang tidur dalam kereta di tepi sebatang jalan di Palm Beach, pada jam 3.30 pagi.
Ketika dikejutkan, Woods didapati dalam keadaan mamai dan pertuturannya juga tidak jelas, namun tidak keberatan memberi kerjasama.
#Dadah #golf #polis #Tiger Woods
;