Lima bekas atlet calon pengarah teknikal, pengurus prestasi tinggi sukan terjun

Bernama
Ogos 8, 2023 07:45 MYT
Mun Yee merupakan salah seorang daripada empat calon bagi jawatan pengarah teknikal sukan terjun. - Gambar fail/Sinar Harian
KUALA LUMPUR: Lima bekas atlet negara yang pernah beraksi di Sukan Olimpik antara enam individu yang berpeluang mengisi jawatan pengarah teknikal dan pengurus prestasi tinggi sukan terjun dalam usaha meletakkan sukan itu kembali ke landasan terbaik.
Setiausaha Agung Persekutuan Renang Malaysia (MS) Andy Low berkata daripada enam individu itu, empat daripadanya memohon jawatan pengarah teknikal manakala dua bagi posisi pengurus prestasi tinggi.
Menurutnya empat calon bagi jawatan pengarah teknikal merupakan bekas atlet iaitu Datuk Leong Mun Yee, Bryan Nickson Lomas, Mohd Azheem Bahari dan Khairul Safwan Mansur.
Sementara dua calon untuk mengisi posisi pengurus prestasi tinggi adalah bekas atlet Rossharisham Roslan dan koordinator sukan Kelvin Chong.
Andy berkata MS sememangnya memberikan tumpuan terhadap bakat tempatan untuk mengisi kedua-dua jawatan penting itu.
"Kita sudah lakukan temu duga hari ini dan lima daripadanya merupakan bekas Olympian negara. Kita akan buat pemilihan dan keputusan tersebut akan diketahui pada hujung bulan ini. Menariknya, kesemua calon itu adalah tempatan.
"Antara sebab utama kita pilih orang tempatan lebih mudah terutama dari segi bahasa, budaya dan lebih memahami," katanya ketika ditemui di Pusat Akuatik Nasional di Bukit Jalil di sini semalam.
-- BERNAMA
#bekas atlet negara #Andy Low #pengarah teknikal sukan terjun #pengurus prestasi tinggi sukan terjun
;