Lima amalan Pa'din Musa kekal hebat pada usia 42 tahun
Ian Johan Ariff
September 19, 2018 09:27 MYT
September 19, 2018 09:27 MYT
PADA usia 42 tahun, pemain papan selaju paling berpengaruh di Malaysia, Ahmad Fadzil Musa, atau lebih mesra dengan panggilan Pa’din Musa, belum bersedia berundur sepenuhnya untuk mencabar kemampuan dirinya dalam sukan skateboarding.
Baru-baru ini, Pa’din menunjukkan satu aksi lagak ngeri dengan melakukan trik smith grind pada susur tangan sebuah gelanggang papan selaju yang dibinanya di Kuala Lumpur.
Lebih mengagumkan, ia merupakan percubaan melakukan grind pada susur tangan yang paling panjang pernah dilakukannya sejak beliau mula bermain papan selaju lebih 25 tahun lalu.
Tidak ramai pemain papan selaju yang jauh lebih muda mampu bermain pada susur tangan sepanjang ini, apatah lagi melakukan trik smith grind.
Jadi, Astro AWANI bertanya kepada Pa’din, apakah amalan beliau sehingga mampu mempamerkan permainan seolah-olah baru berusia 24 tahun. Menurutnya:
1. Pa’din bangun bersolat setiap pagi dan jogging jika sempat. Sarapan pagi pilihan beliau nasi lemak dan kopi panas.
2. Pa’din mengamalkan pengambilan makanan tambahan, selain vitamin C, dan cuba mengambil produk-produk berasaskan herba yang dihasilkan syarikat antarabangsa.
3. Pa’din minum susu berkalsium tinggi sekurang-kurangnya dua gelas sehari.
4. Untuk kekal cergas dan terus mampu bermain skate, beliau berlatih di hadapan bengkel motosikalnya setiap hari sebagai senaman, selain cuba untuk mendapatkan kembali trik-trik lama yang sudah tidak dilakukan lagi.
5. Pa’din sentiasa berfikiran positif dan bermain mengikut kemampuan diri dan tidak cuba untuk bersaing dengan pemain yang lebih muda.
Pa’din merupakan seorang legenda pemain papan selaju negara yang pernah memenangi dua pingat emas X Games Asia termasuk satu emas Asian Indoor Games.
Anak jati Pulau Pinang itu satu-satunya pemain papan selaju dari Malaysia yang berjaya layak ke Summer X Games di Los Angeles.
#Ahmad Fadzil Musa
#aksi lasak
#amalan
#lagak ngeri
#Los Angeles
#Pa'din Musa
#Papan Selaju
#pemakanan
#pulau pinang
#senaman
#solat
#stunt
#Summer X Games
#X Games Asia