'Lihat MMA sebagai sukan, sebagai seni' - Penganalisis

Haider Yutim
Jun 30, 2019 18:56 MYT
Haresh mengakui, sukan ini menghadapi masalah persepsi, namun ia boleh ditangani dengan mengubah cara orang ramai melihat MMA. - Gambar fail/instagram/colleenspartanmma
Tidak timbul masalah jika seni bela diri campuran (MMA) hendak diperkenalkan di sekolah kerana selama ini sukan tempur seperti karate dan taekwondo sudah pun diajar dan dipertandingkan di peringkat tersebut.
Demikian pandangan editor dan penganalisis sukan, Haresh Deol mengenai cadangan oleh MASMMAA untuk memperkenalkan sukan itu di sekolah-sekolah di Malaysia.
Menurutnya, dengan cara itu juga orang ramai termasuk ibu bapa dapat mengenali sukan itu dengan lebih dekat.
“Ini merupakan platform yang penting di mana para pelajar, guru mahupun ibu bapa dapat mengenali sukan tersebut dengan lebih dekat lagi dan mengetahui bahawa terdapat peraturan-peraturan yang ketat apabila sukan ini dipertandingkan pada umur di bawah 18 tahun di mana tiada pukulan pada muka dan sebagainya,” katanya ketika ditemui Astro AWANI pada majlis 'ONE Championship Media Night' di ibu negara, baru-baru ini.
BACA: Silibus MMA peringkat sekolah lebih selamat, lebih ketat - MASMMAA
“Jadi kalau kita lihat peraturan-peraturan tersebut, ada yang mengatakan sukan ini lebih selamat dari sukan-sukan yang lain. Jadi saya merasakan itu titik perubahan yang sangat baik bagi sukan MMA di Malaysia.”
Haresh mengakui, sukan ini menghadapi masalah persepsi, namun ia boleh ditangani dengan mengubah cara orang ramai melihat MMA.
Katanya, setiap sukan mempunyai risiko malah dalam permainan bola sepak yang dilihat lebih ‘selamat’ pun ada laporan tentang pemain bola yang meninggal dunia di atas padang.
"Saya mengakui MMA mempunyai masalah persepsi, kerana apabila kita lihat MMA di kaca televisyen, kita lihat terdapat banyak darah dan sebagainya, tetapi ini bukanlah gambaran sebenar,” katanya.
Jelas Haresh, apa yang penting ialah MMA merupakan satu sukan dan seni yang mengajar pengamalnya tentang disiplin dan hormat menghormati.
"Ramai orang mengaitkan bahawa kalau kita belajar seni mempertahankan diri kita akan kuat berlawan, sebaliknya jika anda seorang penggemar atau penggiat seni mempertahankan diri, perkara pertama yang akan anda belajar ialah jangn lawan,” tambahnya.
#Haresh Deol #karate #MASMMAA #Mixed Martial Arts #MMA di sekolah #ONE Championship #penganalisis sukan #seni bela diri campuran #seni mempertahankan diri #silat #sukan MMA #taekwondo
;