Ligue 1: PSG benarkan Kylian Mbappe adakan perbincangan dengan Al Hilal
Astro Arena
Julai 25, 2023 11:45 MYT
Julai 25, 2023 11:45 MYT
PARIS Saint-Germain (PSG) membenarkan pemain bintangnya, Kylian Mbappe, untuk mengadakan perbincangan dengan kelab Arab Saudi, Al Hilal, yang bersedia untuk menawarkan perbelanjaan rekod dunia bernilai £259 juta (RM1.5 bilion) bagi mendapatkan penyerang itu, demikian dilaporkan agensi berita, PA.
Pemain berusia 24 tahun itu masih belum menandatangani kontrak lanjutan setahun dalam kesepakatannya bersama PSG dan ia bermakna, dia akan menjadi pemain dengan status ejen bebas musim panas depan dan boleh meninggalkan pasukan itu tanpa sebarang yuran perpindahan.
Pemain kebangsaan Perancis itu, yang membintangi aksi Les Blues ke final Piala Dnia Qatar tahun lalu, juga tidak terlibat dengan jelajah pramusim PSG di Jepun ketika ini.
Langkah terbaru itu memberikan isyarat jelas bahawa PSG bersedia untuk menjual ayam tambatan mereka itu musim panas ini, terutama melibatkan tawaran luar biasa yang dikemukakan Al Hilal.
Sumber terdekat kelab Perancis itu berkata pemain berkenaan turut menarik minat beberapa kelab gergasi Eropah, antaranya Chelsea, Manchester United, Tottenham, Inter Milan dan Barcelona.
Jika tawaran yang dikemukakan Al Hilal itu dipersetujui, ia akan memecahkan rekod perpindahan termahal dunia yang dilakukan PSG untuk mendapatkan Neymar daripada Barcelona dengan tanda harga £200 juta (RM1.172 bilion) pada 2017. - Stadium Astro