Liga Super: TRW bangkit ikat City Boys

Sinar Harian
Mac 17, 2023 23:58 MYT
Pemain Kelantan FC Carlos Albarto Olavar Martinez De Murga (kanan) diasak pemain Kuala Lumpur City FC Herlison Caion De Sousa Ferreira dalam aksi perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV malam ini. - Foto BERNAMA
KELANTAN FC bangkit ketinggalan dua gol untuk mengikat Kuala Lumpur City (KL City) FC 2-2 pada saingan Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu pada Jumaat.
Anak buah Choi Moon-sik bermula garang apabila mengasak kubu angkatan Bojan Hodak seawal minit pertama melalui percubaan Miguel Cifuentes, namun dinafikan penjaga gawang The City Boys, Azri Ghani.
Pelawat pula hampir di depan menerusi voli penyerang import Tchetce Kipre pada minit ke-10, namun percubaan itu tersasar ke sebelah kanan gawang tuan rumah.
Seminit selepas itu, Kipre memanfaatkan kelekaan barisan pertahanan TRW apabila percubaannya menewaskan penjaga gol Kelantan, Nik Mohd Amin Ahmad.
The City Boys kemudian melebarkan jaringan kali ini menerusi rembatan Declan Lambert pada minit ke-34 untuk memimpin perlawanan 2-0.
Bagaimanapun, anak buah Moon-sik yang tidak mengalah kemudian menggandakan asakan bagi mengurangkan defisit gol.
Gol dicari tuan rumah akhirnya menjelma hasil jaringan sendiri pemain KL City, Kenny Pallaraj pada minit ke-41 sekali gus mengembalikan semula TRW dalam permainan.
TRW tidak menunggu lama untuk menyamakan kedudukan apabila Mohamad Fazrul Amir Md Zaman bijak menyambar bola hantaran lintang Mohamad Ikhwan Yazek pada minit ke-47 untuk kedudukan 2-2 separuh masa pertama.
Bersambung babak kedua, kedua-dua pasukan meningkatkan serangan apabila saling mengasak bagi memburu gol kemenangan.
Bagaimanapun pada minit ke-74, TRW beraksi dengan 10 pemain selepas Ikhwan Yazek yang tidak dapat meneruskan permainan kerana kecederaan setelah tuan rumah membuat lima pertukaran.
Keputusan di Kota Bharu itu menyaksikan TRW kini mengumpul empat mata selepas mengharungi lima perlawanan - satu menang, satu seri, tiga kalah untuk kedudukan ke-10 liga.
Sementara itu KL City pula mengumpul tiga mata selepas mengharungi empat perlawanan - tiga seri, satu tewas di tangga ke-11 liga.
- Sinar Harian
#KL City #Kelantan FC #Bojan Hodak #Liga Super
;