Liga Super: Tok Gajah tumbang kepada Lions XII
Astro Arena
Ogos 9, 2015 09:10 MYT
Ogos 9, 2015 09:10 MYT
Buruan gelaran liga semakin mencabar apabila Pahang kalah 4-2 kepada wakil Singapura, Lions XII di gelanggang lawan di Stadium Jalan Besar.
Tuan rumah mendahului skuad Tok Gajah di separuh masa pertama dengan kedudukan 2-1 menerusi jaringan Faris Ramli dan Madhu Mohana masing-masing pada minit ke 17 dan 30, sebelum Matias Conti merapatkan jurang pada minit ke-43.
Pada babak kedua, Faris sekali lagi menggegar kedudukan pelawat menerusia jaringan pada minit ke-60 sebelum Safuwan Baharudin menambah derita Pahang pada minit ke-85.
Pahang yang cuba bangkit dengan merapatkan jurang jaringan menerusi R. Surendran pada masa kecederaan.
Di Stadium Sultan Muhammad ke-IV, Kelantan tewas 2-1 kepada Terengganu.
Bagaimanapun, Ahmad Fakri Saarani mencipta rekod selaku penjaring terpantas selepas 17 saat perlawanan berlangsung untuk meletakkan Kelantan di hadapan.
Namun, pemain import Terengganu yang berasal dari Cameroon, Vincent Bikana menyamakan kedudukan pada minit ke-25, sebelum Ashari Samsudin menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-73 untuk membolehkan skuad Penyu melonjak ke tangga kelima liga dengan 29 mata.
Di Kuching, tandukan pemain pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Mohd Afif Amirudin sebelum perlawanan tamat, memusnahkan impian tuan rumah, Sarawak untuk
mengutip mata penuh di Stadium Negeri.
PDRM mengalahkan Sarawak 3-2.
Ahmad Ezrie Shafizi Sazali meletakkan pasukan 'The Cops' di hadapan pada minit ke-20, untuk mendahului 1-0 di separuh masa pertama.
Joseph Kalang Tie menyamakan kedudukan empat minit selepas babak kedua dimulakan sebelum Ryan Griffiths meletakkan Sarawak di hadapan pada minit ke-78.
Pemain import PDRM, Dramane Traore bertindak cemerlang untuk mengikat tuan rumah di kedudukan 2-2 pada minit ke-85 sebelum Mohd Afif menyempurnakan sepakan sudut pada minit ke-89.
Di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, Selangor meraikan tiga mata penuh selepas menewaskan Sime Darby 3-1, sekali gus melonjak ke tangga ketiga liga di belakang Pahang dengan 29 mata.
Rizal Fahmi Abdul Rosid dan sepakan penalti pemain import Guilherme De Paula pada minit ke 19 dan 26, meletakkan Selangor di kedudukan selesa sebelum pemain import Sime Darby Reinaldo Da Costa merapatkan jurang pada minit ke-31.
Mohd Amri Yahya melengkapkan jaringan untuk skuad 'The Red Giants' pada minit ke-81.
Dalam pada itu, Perak gagal memanfaatkan peluang di hadapan penyokong sendiri apabila tewas 2-0 kepada Felda United di Stadium Ipoh.
Kekalahan tersebut menyebabkan Perak yang mengutip 27 mata, jatuh ke kedudukan kelapan liga.
Shukor Adan dan Mohd Raffi Nagoorgani meledak gawang tuan rumah pada minit ke-60 dan 69, untuk memastikan mereka pulang dengan tiga mata penuh serta menduduki tangga keempat liga dengan 29 mata.