KUALA NERUS: Ketua Jurulatih Terengganu FC (TFC) Tomislav Steinbruckner menganggap anak buahnya tidak mencapai tahap diharapkan, meskipun meraih kemenangan 3-1 ke atas Perak FC pada perlawanan pembukaan Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), malam tadi.

Pengendali kelahiran Croatia itu berkata pada separuh masa pertama, pemainnya beraksi dalam keadaan tidak menentu dan keletihan, menyebabkan beberapa peluang yang terhidang di depan mata terlepas begitu sahaja.

Bagaimanapun, beliau memberi pujian kepada beberapa pemain gantian yang berjaya mengubah rentak serta corak permainan, selepas dimasukkan pada separuh masa kedua.

"Tentu sekali saya gembira kerana kami mengutip tiga mata penting dari perlawanan pertama. Tetapi saya tahu kami tidak bermain dengan baik (malam tadi). Kami kelihatan kepenatan... terlalu perlahan dan tidak cukup kualiti.

"Saya berpuas hati dengan pemain simpanan kami. Kesemua pemain lakukan sesuatu dan berjaya menjaringkan gol. Sebelum perlawanan saya bagi tahu pemain bahawa pasukan bukan hanya 11 pemain. Kita juga perlu bantuan dari pemain simpanan dan ia menjadi kenyataan," katanya selepas perlawanan menentang Perak FC di SSMZA malam tadi.

Tiga gol TFC dijaringkan Nurillo Tukhtasinov, Chukwu Chijioke dan pemain Perak FC Shivan Pillay yang terjaring gol sendiri, manakala gol tunggal skuad The Bos Gaurus diperoleh melalui sepakan penalti oleh kapten pasukan Guaycochea Luciano.

Dalam pada itu pengendali Perak FC Yusri Che Lah berkata penerimaan kad merah pada akhir permainan, membunuh semangat perjuangan pemain.

Bagaimanapun, beliau mahu anak buahnya melupakan episod kekalahan malam tadi dan memberi tumpuan kepada perlawanan menentang PDRM FC minggu depan, di laman sendiri.

"Saya tahu peminat Perak FC kecewa dengan kekalahan pada perlawanan pertama ini... malah pemain juga sama. Tetapi, kita akan terus berusaha untuk dapatkan tiga mata minggu depan untuk tebus kesilapan," katanya.

-- BERNAMA