Liga Super: Selangor terkulai di Shah Alam
Astro Arena
Februari 17, 2019 23:36 MYT
Februari 17, 2019 23:36 MYT
Hasrat Selangor untuk meraih kemenangan pertama dalam kempen Liga Super musim ini tidak kesampaian sebaik ditewaskan PKNS FC 0-4 di Stadium Shah Alam pada Ahad.
Jaringan daripada Nicholas Swirad, Kpah Sherman, Chan Vathanaka dan Romel Morales sudah cukup untuk PKNS FC mengaibkan skuad Gergasi Merah itu di laman mereka sendiri.
Kekalahan itu juga sudah pasti menambahkan tekanan buat ketua jurulatih Selangor, B. Sathianathan, yang sebelum ini dikritik hebat peminat ekoran dua keputusan seri dengan Felda United dan Petaling Jaya City FC.
PKNS FC bermula garang dalam aksi awal di Stadium Shah Alam, namun mereka kerap dihampakan ketangkasan penjaga gol Selangor, Khairul Azhan Khalid.
Antonio German berpeluang membuka jaringan buat tuan rumah, namun percubaannya dari jarak 35 meter tersasar di bahagian kiri gawang lawan.
Faiz Nasir sepatutnya menjaringkan gol pertama Selangor, namun dia gagal menanduk masuk bola hantaran lintang Syazwan Zainon pada minit ke-21.
PKNS FC kemudian membuka jaringan pada minit ke-27 selepas sepakan sudut Vathanaka disudahkan Swirad untuk skuad The Red Ants itu mengemudi perlawanan sepanjang separuh masa pertama.
PKNS FC menggandakan kelebihan mereka pada minit ke-49 menerusi Sherman yang bijak memanfaatkan peluang di depan gol.
Selangor cuba melakar kebangkitan menerusi beberapa percubaan, namun PKNS FC terus melebarkan kelebihan mereka menerusi jaringan Vatanhaka pada minit ke-79 sebelum Morales melengkapkan keputusan perlawanan dalam waktu kecederaan.