Liga Super: Sabah kembali ke landasan kemenangan atasi Negeri Sembilan

Astro Arena
Julai 25, 2024 15:50 MYT
Pemain kebangsaan, Daniel Ting, membuka jaringan buat tuan rumah pada minit ke-14 dengan melakukan rembatan leret yang menggegarkan jaring lawan selepas menerima hantaran tandukan Telmo Castanheira. - Gambar Stadium ASTRO
LIKAS: Sabah kembali ke landasan kemenangan apabila menewaskan Negeri Sembilan 2-0 dalam aksi Liga Super di Stadium Likas sebentar tadi.
Selepas tewas dua pertemuan Piala FA dengan Terengganu, selain kekalahan kepada Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam saingan liga, skuad Badak itu bangkit dengan menjadikan pasukan di tangga tercorot, Negeri Sembilan, sebagai mangsa mereka.
Pemain kebangsaan, Daniel Ting, membuka jaringan buat tuan rumah pada minit ke-14 dengan melakukan rembatan leret yang menggegarkan jaring lawan selepas menerima hantaran tandukan Telmo Castanheira.
Malang menimpa Negeri Sembilan dalam babak kedua apabila terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas Norfiqrie Talib dilayangkan kad merah pada minit ke-65 gara-gara terjahan berbahayanya ke atas Azhad Harraz Arman.
Jafri Firdaus Chew kemudian menggandakan kelebihan Sabah menerusi tendangan penalti pada minit ke-81 selepas insiden Zainal Abidin Jamil menjatuh Castanheira.
#penalti #Piala FA #hantaran tandukan #tangga tercorot