Liga Super: Richmond Boakye teruja ledak gol pertama bersama Selangor
Astro Arena
Julai 16, 2023 21:47 MYT
Julai 16, 2023 21:47 MYT
PENYERANG import Selangor FC, Richmond Boakye, teruja apabila meledakkan gol pertamanya bersama pasukan Gergasi Merah itu ketika mengatasi Penang FC 3-0 dalam aksi Liga Super di Petaling Jaya malam tadi.
Pemain kelahiran Ghana itu mengakui jaringan yang dilakukannya pada minit ke-59 itu akan menjadi pembakar semangat untuk terus membantu The Red Giants dalam baki saingan musim ini.
Boakye turut berharap dapat membuktikan kredibilitinya sebagai antara pemain import terbaik pernah dimiliki Selangor meskipun sedar tanggungjawab besar yang sedang digalasnya.
"Yang pertama, saya mahu berterima kasih kepada Tuhan yang maha kuasa kerana Dia-lah yang membenarkan segala yang terjadi," katanya kepada Astro Arena.
"Saya juga mahu berterima kasih kepada rakan sepasukan saya, penyokong dan staf pasukan kerana tanpa mereka, mustahil untuk saya menjaringkan gol ini.
"Jaringan ini saya dedikasikan buat penyokong dan rakan sepasukan saya.
"Ia sentiasa waktu yang menggembirakan untuk dinikmati buat seorang penyerang apabila dapat menjaringkan gol pertama.
"Apabila anda menjaringkan gol pertama, jaringan berikutnya akan datang segera jika anda meneruskan yang terbaik dalam latihan dan mendengar cakap jurulatih," katanya. - StadiumAstro.com