Liga Super: Perak bangkit untuk benam UiTM FC 3-2

Bernama
April 7, 2021 07:07 MYT
Pemain Perak FC meraikan gol ketika menentang UITM FC pada saingan Liga Super di Stadium Perak malam tadi. --fotoBERNAMA
KUALA LUMPUR: Perak FC bangkit daripada ketinggalan dua gol untuk menumpaskan pasukan tercorot Liga Super, UiTM FC, 3-2, pada aksi di Stadium Perak, Ipoh, malam tadi.
Penyerang import dari Ghana, Nana Poku mengejutkan tuan rumah pada minit ke-20 menerusi sepakan penalti selepas melakukan larian solo ke dalam kotak penalti sebelum dijatuhkan pemain pertahanan Perak FC, Muhammad Danish Haziq Saiful Hisham.
Nana Poku sekali lagi menggegar jaring apabila bijak meloloskan diri daripada perangkap 'offside' sebelum tenang menyumbat masuk bola ke sebelah kiri gol tuan rumah pada minit ke-40.
Tersentak dengan dua gol lawan, permain tengah, Raianderson Da Costa Morais merapatkan jurang dengan menguis bola ke dalam pintu gol UiTM FC berpunca daripada sepakan penjuru J. Partiban pada masa kecederaan separuh masa pertama.
Bersambung babak kedua, Perak berjaya menyamakan kedudukan selepas pemain naturalisasi kebangsaan, Guilherme De Paula menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-69 dan Raianderson muncul wira untuk menghadiahkan gol kemenangan Perak FC dengan meledak gol keduanya pada minit ke-77 selepas bijak melakukan rembatan ke kiri gawang lawan.
Pertembungan di antara Petaling Jaya (PJ) City FC dan Kuala Lumpur (KL) City FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya menyaksikan kedua-dua pasukan sekadar berpuas hati dengan satu mata yang berkesudahan seri 2-2.
Walaupun ketinggalan menerusi jaringan sendiri Irfan Zakaria pada minit ke-50, skuad bimbingan Bojak Hodak itu pantas menyamakan kedudukan dua minit kemudian selepas kapten pasukan, Paolo Josue melepaskan sepakan leret ke dalam pintu gol, hasil daripada lorongan bola oleh Romel Oswaldo Morales ke dalam kotak penalti.
Percubaan dari luar kotak penalti oleh penyerang Muhammad Hadin Azman berjaya menerjah jaring pada minit ke-58 sebelum terpaksa bermain dengan 10 pemain seminit kemudian ekoran kad kuning kedua dilayangkan kepada pemain pertahanan Nik Mohd Shahrul Azim.
Situasi itu dimanfaatkan tuan rumah untuk melancarkan serangan demi serangan ke kubu lawan sehinggalah rembatan kencang oleh pemain gantian, R. Kogileswaran dalam kotak penalti menyelamatkan pasukannya daripada mengalami kekalahan di tangan skuad ibu kota itu.
Selepas tujuh perlawanan, PJ City FC kekal di tangga kelima liga dengan 10 mata diikuti KL City FC di tangga keenam liga (9 mata) manakala Perak FC kekal di tangga kelapan (8 mata) dan UiTM FC pula masih terperosok di bawah liga dengan hanya 1 mata.
Sementara itu, aksi Liga Premier menyaksikan Johor Darul Ta’zim (JDT) II merekodkan kemenangan tipis 1-0 ke atas PDRM FC di Stadium Tan Sri Dato Hassan Yunos di Larkin manakala pasukan tercorot liga, Projek FAM-MSN menamatkan badi kekalahan enam perlawanan berturut-turut selepas seri 2-2 menentang Kuching FC di Stadium UiTM Shah Alam.
Dalam pada itu, perlawanan Selangor FC 2 dan Sarawak United FC di Stadium Majlis Perbandaran Selayang telah ditunda akibat cuaca buruk dan akan dipinda ke satu tarikh yang akan ditetapkan oleh Liga Bola Sepak Malaysia (MFL)..
-- BERNAMA
#KL City FC #Perak FC #Liga Super #Liga Premier #MFL #UiTM FC #Nana Poku #sepakan penalti
;