Liga Super: Paulo Josue julang KL City di Kuantan
Bernama
Jun 4, 2023 06:45 MYT
Jun 4, 2023 06:45 MYT
KUALA LUMPUR: Sepakan percuma berkualiti tinggi ketua pasukan, Paulo Josue, pada babak kedua cukup untuk membawa Kuala Lumpur City (KL City) FC kembali ke landasan kemenangan selepas mengatasi Sri Pahang FC, 2-1, di Stadium Darul Makmur, Kuantan, pada aksi Liga Super, malam tadi.
Skuad 'Warga Kota' tidak menunggu lama mengejutkan 'Tok Gajah' menerusi ayam tambatan, Tcheche Kipre yang memanfaatkan hantaran dari tengah padang oleh Josue, dengan melepaskan rembatan kencang kaki kiri dari luar kotak penalti ke pintu gol tuan rumah bagi membuka tirai jaringan pada minit kelima.
Sri Pahang kemudian mula mendapat rentak untuk menguasai permainan namun corak hantaran pendek kurang menjadi bagi menembusi kubu pertahanan pelawat dengan percubaan terbaik mereka hadir menerusi David Rowley tetapi sepakan kaki kanannya hanya melepasi palang gol di penghujung babak pertama.
Pasukan bimbingan pengendali Singapura, Fandi Ahmad, yang semakin rancak menekan KL City sebaik babak kedua bersambung diaugerahkan sepakan penalti selepas penjaga gol pelawat, Muhammad Azim Al Amin Kamaruddin menjatuhkan pemain sayap, Muhammad Baqiuddin Shamsudin.
Tonggak pertahanan dari Argentina, Stefano Brundo memanfaatkan kesempatan tersebut apabila melepaskan rembatan deras untuk menyamakan kedudukan pada minit ke-58, yang juga jaringan keenamnya dalam saingan liga musim ini.
Bagaimanapun, kekasaran ketua pasukan Sri Pahang, Mohamad Fadhli Mohd Shas ke atas Kipre membawa padah apabila tindakannya membuka ruang buat Josue melepaskan tendangan bebas ke sudut kiri gawang tuan rumah, sekali gus menoktahkan kemenangan kepada skuad kendalian Bojak Hodak pada minit ke-76.
KL City, yang terikat 1-1 dengan Kuching City FC, 24 Mei lepas, kembali memperoleh tiga mata untuk naik satu anak tangga ke kedudukan keenam dengan 22 mata, selepas memintas Terengganu FC yang jatuh ke tangga ketujuh dengan 20 mata manakala Sri Pahang masih berada di tempat ketiga dengan 25 mata.
Sementara itu, kemarau kemenangan Kuching City terus berpanjangan apabila sekadar seri 1-1 dengan Negeri Sembilan FC di Stadium Negeri, Kuching.
Tuan rumah memperoleh gol pendahuluan menerusi rembatan kencang tonggak tengah Zahrul Nizwan Joe Zulkifli pada minit kelapan sebelum pemain import dari Brazil, Casagrande menyelamatkan Negeri Sembilan daripada mengalami kekalahan dengan meledak gol penyamaan pada minit ke-34.
Keputusan tersebut menyaksikan pasukan bimbingan Irfan Bakti Abu Salim merekodkan tiga seri dan mengalami sembilan kekalahan selepas memulakan kempen liga dengan kemenangan ke atas pasukan tercorot liga, Kelantan FC, 2-1, Februari lalu.
Kuching City kini mengumpul enam mata untuk kekal di tangga ke-13 manakala kedudukan Negeri Sembilan juga tidak berganjak dari posisi kelapan dengan mengutip 18 mata.
-- BERNAMA