Liga Super: Pahang kerap beri Perak peluang - Dollah Salleh
Astro Arena
Februari 5, 2018 14:08 MYT
Februari 5, 2018 14:08 MYT
PENGENDALI Pahang, Dollah Salleh, menyifatkan skuad kendaliannya acap kali melakukan kesilapan mudah dan gagal menyempurnakan peluang ketika bertemu Perak dalam aksi sulung Liga Super, semalam.
Pahang dan Perak gagal membuka langkah musim ini dengan nota positif apabila kedua-dua pasukan terikat seri tanpa jaringan di Stadium Darul Makmur.
Pahang yang turun membariskan dua awang import baru, Chan Vathanaka dan Alex de Moraes Gomes, menjadi tumpuan peminat tuan tumah manakala Sergio Ezequiel Unrein berada di bangku simpanan.
Pasukan tuan rumah mempamerkan permulaan yang agresif dengan melancarkan serangan ke arah kubu pertahanan lawan tetapi gagal mencipta jaringan.
Perak turut mensia-siakan peluang untuk menjaringkan gol selepas percubaan Nor Hakim Hassan berjaya ditampan oleh Muslim Ahmad ketika perlawanan melewati minit ke-56.
Dollah mengharapkan persembahan yang lebih cemerlang daripada anak buahnya untuk aksi akan datang berdepan PKNS FC.
"Kami banyak melakukan kesilapan mudah dan memberikan kesempatan buat Perak untuk melakukan percubaan ke arah pintu gol kami," katanya.
Sementara itu, Mehmet Durakovic memandang positif kepayaan Perak meraih satu mata tetapi beranggapan pasukannya harus mencipta kemenangan.
"Mereka (Pahang) sebuah pasukan yang bagus. Mempunyai jurulatih dan penyokong yang baik. Padang di sini juga amat bagus dan saya sangat gembira.
"Tetapi kami sepatutnya menang jika dilihat dari segi peluang yang diperolehi tetapi ini bukan malam kami," jelas Durakovic.