Liga Super: Negeri Sembilan mahu elak jadi 'lauk' JDT

Syukri Shaari
Mac 6, 2023 08:47 MYT
Selepas merekodkan dua kemenangan selesa dalam dua perlawanan, tanpa melepaskan sebarang gol, JDT pastinya mahu mengekalkan rentak cemerlang pasukan itu dengan menewaskan pasukan tuan rumah. - Gambar fail
Ramalan keputusan:
Negeri Sembilan 0 - 2 JDT
JOHOR Darul Takzim (JDT) bertandang ke Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi untuk menentang Negeri Sembilan FC.
Selepas merekodkan dua kemenangan selesa dalam dua perlawanan, tanpa melepaskan sebarang gol, JDT pastinya mahu mengekalkan rentak cemerlang pasukan itu dengan menewaskan pasukan tuan rumah.
Daripada dua perlawanan sebelum ini, anak-anak buah Esteban Solari mempamerkan corak permainan dominan dan menguasai 90 minit perlawanan.
JDT dijangka mengekalkan kesebelasan sama yang menewaskan Terengganu FC dan KL City FC sebelum ini dengan rangkaian serangan diketuai Bergson, Arif Aiman dan Forestieri.
Negeri Sembilan pula masih belum merekodkan sebarang kemenangan selepas dua perlawanan. Hanya dua keputusan seri dicatatkan menentang Penang FC dan Sri Pahang FC.
Ketua Jurulatih Negeri Sembilan, K. Devan perlu menyediakan pelan permainan yang agresif dan luar biasa untuk mengekang kemaraan JDT, namun perkara itu bukannya sesuatu yang mudah.
Berdasarkan rekod pertemuan kedua-dua pasukan musim lalu, JDT menang kedua-dua perlawanan.
Dengan profil skuad dan prestasi semasa pasukan, JDT dilihat tiada masalah untuk mengutip tiga mata di paroi malam ini.
Siaran langsung perlawanan Negeri Sembilan FC vs JDT boleh ditonton di saluran 102 RTM TV2 pada jam 9 malam.
#Liga Super #bola sepak #JDT FC #Malaysia Super League