Liga Super Malaysia Fantasi galak minat terhadap bola sepak

Bernama
Januari 21, 2015 08:42 MYT
Liga Super Malaysia Fantasi galak minat terhadap bola sepak
Peminat bola sepak di Malaysia kini boleh merasai keseronokan mengumpulkan barisan kesebelasan mereka yang mantap di gelanggang sendiri melalui platform Liga Super Malaysia Bola Sepak Fantasi yang baharu dilancarkan.
"Walaupun sukan bola sepak di Malaysia berkembang dari setahun ke setahun, kami berpendapat sudah tiba masanya kami bekerjasama dengan FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia) dalam memperkenalkan inisiatif itu.
"Kami sedar ia masa terbaik untuk kami bekerjasama kerana terdapat minat yang tinggi dalam permainan dalam talian dan penembusan internet dan aplikasi mudah alih," kata Ketua Pegawai Eksekutif Just Mobile Sdn Bhd and FanXt Limited Melvin Wong kepada pemberita selepas pelancaran rasmi Liga Super Malaysia Bola Sepak Fantasi di sini, hari ini.
Majlis itu dirasmikan Penolong Setiausaha Agung FAM LazarusJansen Xavier. Wong berkata pembangunan permainan itu disokong oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) melalui geran Dana Pembangunan Industri Kandungan (CIDF).
Beliau berkata melalui kaji selidik, peminat bola sepak di Malaysia kini menduduki tangga ketiga selepas United Kingdom dan Ireland dari segi jumlah peminat bola sepak yang bermain bola sepak maya.
Wong berkata lebih 300,000 rakyat Malaysia telah beraksi dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) Bola Sepak Fantasi dan menyasarkan kira-kira 20,000 akan menyertai bola sepak maya itu.
Peminat tempatan kini boleh mula membentuk pasukan impian mereka dengan melayari http://fantasymsl.fanxt.com.
"Kami telah merangka banyak bola sepak fantasi untuk liga yang berbeza termasuk Liga Perdana Inggeris dan La Liga. Kami sebenarnya cuba bekerjasama dengan kebanyakan liga bola sepak di seluruh dunia," katanya.
Melalui kerjasama dengan FAM, peminat akan disediakan dengan barisan penuh pasukan Liga Super musim 2015 dan bajet maya yang besar sehingga RM100,000.
#Liga Super Fantasi
;