Liga Super: Lira gembira dapat balas kepercayaan Nafuzi di Kedah
Astro Arena
April 6, 2023 20:49 MYT
April 6, 2023 20:49 MYT
Penyerang Kedah Darul Aman FC, Willian Lira, gembira apabila dapat membalas kepercayaan ketua jurulatihnya, Nafuzi Zain, dengan menjaringkan gol kemenangan ke atas Penang FC dalam perlawanan Liga Super di Stadium Darul Aman semalam.
Penyerang keenam termahal Liga Malaysia itu berada dalam keadaan tertekan susulan aksi kurang memberangsangkannya sepanjang awal musim ini.
Bagaimanapun, jaringannya pada minit ke-65 itu memastikan Kedah memperoleh tiga mata untuk kembali ke tangga kedua Liga Super.
Lebih manis, kejayaan itu dihasilkan pada ketika pasukan bimbingan Nafuzi itu terpaksa beraksi dengan kurang seorang pemain selepas Wan Amirul Afiq Wan Ab Rahman dilayangkan kad kuning kedua pada minit ke-53.
"Adakalanya terdapat banyak tekanan yang perlu dilalui tetapi jurulatih mempunyai keyakinan dan sentiasa menyenaraikan saya dalam kesebelasan utama," katanya kepada Astro Arena.
"Saya hanya mahu mengucapkan terima kasih kepadanya.
"Saya sedar ada ketika penyokong akan memberikan tekanan kepada anda kerana saya seorang penyerang dan inilah bola sepak.
"Tetapi tidak mengapa, saya sudah menjaringkan gol sekarang," katanya.